Cubaan seorang lelaki warga emas untuk meloloskan diri daripada pemeriksaan Pasukan Gerakan Am (PGA) gagal apabila dia ditahan bersama 800 kilogram beras dipercayai diseludup dari Thailand dalam satu operasi di Kampung Batu Hitam, Tanah merah pada Isnin.
Lelaki berusia 62 tahun itu ditahan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan yang dijalankan anggota Batalion 8 PGA kira-kira jam 8.30 malam.
Cuba Lari Selepas Sedar Diekori
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, pihaknya mengesan suspek yang memandu sebuah Proton Wira Aeroback ketika rondaan dijalankan di Kampung Lalang Pepuyu.
Menurut beliau, suspek bertindak memecut laju ke arah Kampung Panglima Bayu selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa sebelum dikejar hingga ke Kampung Batu Hitam.
“Suspek kemudian berhenti di bahu jalan dan cuba melarikan diri tetapi sempat dikejar dan berjaya ditahan anggota.
“Pemeriksaan pada tubuh badan tidak menemui sebarang barang larangan, namun pemeriksaan ke atas kenderaan menjumpai pelbagai jenis beras dan beras pulut,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengaku Ambil Bekalan Dari Thailand
Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan itu membawa 700 kilogram beras pelbagai jenis serta 100 kilogram beras pulut yang dipercayai diseludup dari negara jiran.
Kesemua barangan bersama kenderaan yang digunakan dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM13,500.
Menurut Ahmad Radzi, siasatan awal mendapati suspek mengaku membawa masuk beras berkenaan dari Thailand melalui Pangkalan Haram Pisang di Kampung Lalang Pepuyu sebelum dihantar ke Paloh Rawa, Machang.
Beliau berkata, suspek turut mengaku menjalankan kegiatan tersebut sekali sehari dan bekerja untuk seorang individu warga Thailand.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras Negara 1994.
Sumber: Harian Metro
SHARE:
