Polis Kelantan Nasihat Rakyat Malaysia Tangguh Perjalanan ke Selatan Thailand

Rakyat Malaysia terutama penduduk Kelantan dinasihatkan menangguhkan sementara waktu perjalanan ke Selatan Thailand susulan 51 insiden keganasan yang berlaku serentak di Narathiwat, Yala dan Pattani.

Menurut laporan Sinar Harian, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, situasi di negara jiran itu perlu diberikan perhatian serius kerana insiden keganasan kini dilaporkan berlaku hampir setiap hari.

Bagaimanapun, polis tidak menghalang rakyat Malaysia daripada memasuki Thailand, sebaliknya menasihatkan mereka supaya lebih berhati-hati dan mempertimbangkan semula perjalanan yang tidak penting.

“Kita tidak halang kalau hendak ke sana, cuma perlu lebih hati-hati. Malam tadi saya bersama grup Ducati Malaysia (motosikal) yang tiba di Kelantan dan mahu masuk ke Thailand hari ini.

“Jadi, saya nasihatkan mereka untuk tidak masuk ke Hatyai sebab ada 51 kejadian (letupan) yang berlaku di Selatan Thailand malam tadi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Pelupusan Barang Kes Melibatkan Dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan pada Ahad.

51 Insiden Berlaku dalam Tempoh Dua Jam

Media sebelum ini melaporkan Selatan Thailand kembali bergolak apabila 51 insiden keganasan berlaku serentak dalam tempoh hampir dua jam pada malam Sabtu.

Kejadian membabitkan tiga wilayah sempadan iaitu Narathiwat, Yala dan Pattani.

Serangan yang dipercayai didalangi kumpulan pemisah itu merangkumi pengeboman, pembakaran pejabat serta kenderaan kerajaan, letupan menara telekomunikasi, rompakan, letupan di kedai serbaneka dan pembakaran tayar.

Selepas siri serangan tersebut, satu lagi kejadian dilaporkan berlaku di Mayo, Pattani apabila sekumpulan lelaki bersenjata menyerbu dan meletakkan bom api di dalam sebuah kedai serbaneka.

Penguatkuasaan Trafik Thailand Dipertingkat

Dalam perkembangan sama, Mohd Yusoff turut mengingatkan rakyat Malaysia yang masih mahu memasuki Thailand supaya mematuhi semua peraturan negara berkenaan.

Beliau berkata, pihak berkuasa Thailand kini meningkatkan operasi penguatkuasaan, khususnya terhadap kesalahan jalan raya.

“Pihak berkuasa mereka sedang mencari kes terutama melibatkan kesalahan-kesalahan trafik. Mereka akan saman semua kenderaan daripada Malaysia yang tidak mematuhi peraturan negara mereka,” katanya.

Orang ramai dinasihatkan mengikuti perkembangan semasa berkaitan keselamatan dan mempertimbangkan risiko sebelum melakukan perjalanan ke Selatan Thailand.

Sumber: Sinar Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!