Sindiket Guna Taktik ‘Tentera Semut’ Seludup Petrol dan Diesel di Sempadan Kelantan

Sindiket penyeludupan dikesan menggunakan taktik “tentera semut” dengan membawa petrol dan diesel dalam kuantiti kecil secara berulang kali bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

Menurut laporan Bernama, taktik itu dikenal pasti oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan dalam kegiatan penyeludupan bahan api bersubsidi di sempadan Malaysia-Thailand.

Pengarah KPDN Kelantan, Hanif Yusabra Yusof berkata, sindiket beralih kepada kaedah tersebut susulan peningkatan penguatkuasaan menerusi Ops Tiris 4.0 Bersepadu serta operasi bersama pelbagai agensi.

Bagaimanapun, cubaan membawa keluar bahan api bersubsidi masih berlaku berikutan permintaan yang tinggi serta perbezaan harga antara Malaysia dengan negara jiran.

318 Kes Direkodkan

Setakat ini, KPDN Kelantan merekodkan 318 kes berkaitan penyeludupan dan penyelewengan barang kawalan.

Sebanyak 135 individu ditangkap, manakala 193 buah kenderaan bernilai keseluruhan RM1.875 juta turut disita.

“Nilai rampasan barang kawalan pula berjumlah RM552,000, termasuk 24,446 liter petrol bernilai RM63,500 dan 48,500 liter diesel bernilai RM218,000. Semua kes kini berada dalam pelbagai peringkat siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Antara lokasi yang dikenal pasti menjadi tumpuan penyeludup ialah Rantau Panjang di Pasir Mas, Pengkalan Kubor di Tumpat serta beberapa laluan berhampiran Sungai Golok.

Kawasan tersebut menjadi pilihan kerana terletak berhampiran sempadan dan mempunyai banyak laluan tikus yang boleh digunakan untuk membawa keluar bahan api secara tidak sah.

Ubah Suai Tangki Kenderaan

Selain menggunakan kumpulan kecil yang dikenali sebagai “tentera semut”, sindiket turut mengubah suai tangki kenderaan dan memasang tangki tambahan pada kenderaan pelbagai guna.

Mereka juga mendapatkan bahan api secara berperingkat dari beberapa stesen minyak sebelum memindahkannya ke dalam tong untuk dibawa melalui laluan tidak sah.

“Mereka juga kerap mengubah masa serta lokasi pergerakan bagi mengelakkan dikesan. Taktik “tentera semut” pula membolehkan bahan api diseludup secara berulang kali dalam kuantiti kecil untuk melepasi kawalan penguatkuasaan di sempadan,” katanya.

Menurut Hanif Yusabra, Ops Tiris memberi impak positif melalui kerjasama KPDN dengan polis, Pasukan Gerakan Am, Jabatan Kastam, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia serta agensi berkaitan.

Kerjasama tersebut berjaya meningkatkan kadar pengesanan dan rampasan, selain memberi kesan pencegahan terhadap kegiatan sindiket.

Pemilik Stesen Minyak Turut Dipantau

Mengulas dakwaan kemungkinan terdapat pemilik stesen minyak atau syarikat yang terlibat, beliau berkata KPDN tidak menolak perkara itu.

Bagaimanapun, setiap dakwaan perlu disiasat secara teliti berdasarkan risikan, bukti dan fakta yang kukuh.

“Jika terdapat elemen pelanggaran undang-undang, tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat,” katanya.

Antara cabaran utama yang dihadapi KPDN ialah kawasan sempadan yang luas, kewujudan banyak laluan tidak sah, perubahan taktik sindiket serta keuntungan lumayan daripada kegiatan berkenaan.

KPDN akan terus memperkukuh risikan, meningkatkan operasi berasaskan maklumat dan memperluaskan kerjasama strategik dengan agensi penguat kuasa.

Pemantauan terhadap rantaian pengedaran bahan api bersubsidi juga akan dipertingkatkan dengan sokongan teknologi seperti dron dan sistem pemantauan pintar.

Hanif Yusabra berkata, penyeludupan bahan api bukan sahaja menyebabkan ketirisan subsidi negara, malah boleh menjejaskan bekalan kepada pengguna tempatan, khususnya di kawasan sempadan.

Orang ramai turut digesa menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan melalui saluran aduan rasmi bagi membantu pihak berkuasa membendung kegiatan tersebut.

Sumber: Bernama

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!