Naikkan Harga Sewa Rumah, Wanita Warga Emas Ditemui Maut Dengan Tangan Terikat

Perselisihan mengenai bayaran kerja pengubahsuaian rumah dan kenaikan kadar sewa bulanan dipercayai menjadi punca seorang wanita warga emas dibunuh di Tanah Merah, Jalan Leila, Sandakan.

Menurut laporan Sinar Harian, kejadian terbongkar selepas bau busuk dari sebuah rumah kayu dua tingkat membawa kepada penemuan mayat mangsa berusia 62 tahun di dalam tandas pada Selasa lalu.

Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan mereput dengan kedua-dua tangannya diikat ke belakang, manakala bahagian kepala ditutup menggunakan kain.

Mangsa dipercayai sudah meninggal dunia beberapa hari sebelum ditemukan.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam kira-kira pukul 8.10 malam berhubung bau busuk dari rumah berkenaan.

“Penemuan itu dibuat selepas polis menerima maklumat daripada orang awam kira-kira jam 8.10 malam berhubung bau busuk yang datang dari rumah berkenaan.

“Mayat mangsa ketika ditemukan sudah mereput dan dipercayai telah meninggal dunia beberapa hari sebelum itu,” katanya dalam kenyataan.

Mangsa Tinggal Bersendirian

Siasatan mendapati wanita berkenaan tinggal bersendirian di rumah tersebut.

Susulan penemuan itu, polis menahan 10 individu dalam tempoh kurang 24 jam bagi membantu siasatan, termasuk dua suspek utama.

Mereka terdiri daripada lima lelaki dan lima perempuan berusia antara 10 hingga 39 tahun.

Daripada jumlah berkenaan, tiga merupakan warga Filipina manakala tujuh lagi warga tempatan. Kesemua mereka dilaporkan mempunyai hubungan kekeluargaan.

Tidak Puas Hati Kadar Sewa Dinaikkan

George berkata, hasil soal siasat mendapati motif kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan mengenai bayaran kerja pengubahsuaian rumah mangsa.

“Suspek juga dipercayai tidak berpuas hati selepas mangsa menaikkan kadar sewa bulanan rumah yang didiami mereka.

“Polis turut merampas sebatang kayu yang dipercayai digunakan dalam kejadian serta beberapa barangan peribadi milik mangsa yang dilarikan suspek,” katanya.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sumber: Sinar Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!