Seorang lelaki tempatan yang dipercayai berperanan sebagai tekong darat ditahan bersama lima pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Op Taring Wawasan Kelantan di Tanah Merah pada Rabu.
Suspek ditahan Pasukan Task Force Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Jalan Hadapan Sekolah Kebangsaan Bukit Panau kira-kira jam 6.10 pagi, 12 Ogos 2026.
Sebelum ditahan, sebuah Honda City yang dinaiki mereka dikesan dalam keadaan mencurigakan. Pemandunya kemudian cuba melarikan diri, namun berjaya dipintas pasukan polis.
Pemeriksaan di dalam kenderaan menemukan empat lelaki warga Myanmar dan seorang wanita warga Thailand yang dipercayai tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
Polis turut merampas tujuh telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM1,094. Keseluruhan nilai rampasan termasuk kenderaan dianggarkan sebanyak RM116,594.
Ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap lelaki tempatan berkenaan turut mendapati suspek positif amphetamine.
Terima Upah RM600 Setiap Penghantaran
Hasil soal siasat mendapati suspek mengaku bahawa kegiatan berkenaan merupakan kali kedua dilakukannya.
Dia dipercayai menerima bayaran RM600 bagi setiap urusan penghantaran PATI.
Suspek turut mendedahkan kegiatan itu didalangi seorang ejen berbangsa Cina yang berpangkalan di Kuala Lumpur. Bayaran dibuat secara tunai selepas setiap penghantaran selesai.
Lima PATI berkenaan dipercayai dalam perjalanan untuk dihantar ke Johor bagi bekerja sebagai buruh.
Suspek menggunakan kenderaan miliknya sendiri dan sebelum ini bekerja sebagai pemandu GrabCar di Kuala Lumpur.
Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pemantauan dan rondaan di kawasan sempadan akan terus dipergiatkan bagi membanteras cubaan pembolosan serta penyeludupan PATI.
Sumber: Briged Tenggara PGA
