Lebih 1,000 Penduduk Kelantan Rasai Gegaran Letupan Bom di Sempadan Thailand

Dentuman beberapa letupan bom di Selatan Thailand mencetuskan panik apabila gegarannya turut dirasai lebih 1,000 penduduk di Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor, Tumpat.

Kejadian kira-kira jam 10 malam waktu Malaysia itu didakwa cukup kuat sehingga menyebabkan kediaman penduduk di kawasan sempadan bergegar.

Menurut laporan Utusan Malaysia, penduduk Kampung Tersang, Wan Rohaya Abdullah, 36, sedang berehat di ruang tamu bersama suami dan anaknya apabila mereka dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat.

“Tiba-tiba bunyi dentuman yang sangat kuat sehingga rumah saya bergegar. Tiga kali berturut-turut letupan itu berlaku selang dua saat dan letupan ketiga selang dua minit,” katanya.

Wan Rohaya berkata, mereka sekeluarga menjadi panik sebelum keadaan kembali terkawal selepas tiada lagi bunyi letupan kedengaran.

Walaupun penduduk yang tinggal berhampiran sempadan Sungai Golok sudah biasa mendengar bunyi letupan dari Thailand, kejadian tersebut tetap menimbulkan kebimbangan.

“Risau kalau terkena peluru sesat atau bom tersasar ke kampung kami dan kediaman penduduk di pinggir Sungai Golok ini,” katanya.

Sementara itu, penduduk Kampung Bukit Lata, Syed Mohd Kamarudin Syed Othman, 53, pada awalnya menyangka dentuman berkenaan merupakan bunyi guruh kerana hujan baru sahaja reda di kawasannya.

“Saya pada mulanya menyangka guruh di langit tetapi tidak lama kemudian kecoh dalam media sosial berlaku letupan bom di Thailand. Walaupun hanya sekali kedengaran tetapi dentuman itu sangat kuat sehingga rasa gegarannya,” ujarnya.

Menurutnya, kejadian seperti itu bukan kali pertama dirasai penduduk kampung berkenaan.

Gegaran pada 2023 didakwa lebih kuat sehingga menyebabkan kerosakan pada kediaman penduduk selepas sebuah stor mercun dan bunga api di Mundok, Thailand meletup.

Selatan Thailand Dilanda 51 Insiden Keganasan

Selatan Thailand dilaporkan kembali bergolak apabila 51 insiden keganasan berlaku hampir serentak di Narathiwat, Yala dan Pattani dalam tempoh hampir dua jam.

Serangan yang dipercayai didalangi kumpulan pemisah itu merangkumi pengeboman, pembakaran pejabat dan kenderaan kerajaan, letupan menara telekomunikasi, rompakan, letupan di kedai serbaneka serta pembakaran tayar.

Jurucakap Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) memaklumkan bahawa sehingga jam 12 tengah malam, sebanyak 22 insiden direkodkan di Narathiwat dan 18 di Yala, selain beberapa kejadian di Pattani.

Sumber: Utusan

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!