Sebuah motosikal Yamaha RXZ dipercayai diseludup dari Thailand ditemukan di dalam sebuah Proton Gen 2 yang ditinggalkan di kawasan semak di Kampung Tok Deh, Rantau Panjang.
Menurut laporan Harian Metro, penemuan itu dibuat anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) kira-kira jam 3 petang pada 15 Ogos menerusi Op Taring Wawasan.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, anggotanya pada mulanya mengesan kereta berkenaan dalam keadaan mencurigakan berhampiran sebuah pangkalan haram.
“Susulan itu anggota PGA mengekori kenderaan terbabit sebelum kereta itu dipandu laju selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.
“Selepas itu kita menemukan kereta terbabit di kawasan semak di Kampung Tok Deh dan pemeriksaan mendapati ada sebuah motosikal Yamaha RXZ di bahagian penumpang belakang dipercayai diseludup dari Thailand.
“Bagaimanapun, pemandu kereta terbabit melarikan diri dan gagal dikesan,” katanya.
Motosikal Tidak Berdaftar di Malaysia
Semakan terhadap nombor enjin mendapati motosikal berkenaan tidak didaftarkan di Malaysia.
Motosikal itu disyaki dibawa masuk secara tidak sah dari Thailand menggunakan pangkalan haram di sekitar Rantau Panjang.
Nilai keseluruhan rampasan membabitkan Proton Gen 2 dan Yamaha RXZ itu dianggarkan berjumlah RM20,000.
“Rampasan dirujuk kepada Jabatan Kastam Rantau Panjang untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.
Sumber: Harian Metro
