Seorang lelaki yang dipercayai bertindak sebagai tekong darat ditahan bersama lima warga Bangladesh selepas mengaku sudah 15 kali membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) sejak Jun lalu.
Menurut laporan Sinar Harian, suspek berusia 31 tahun itu ditahan kira-kira jam 5.40 pagi pada Ahad ketika memandu sebuah Proton Wira di Lorong Pakat Satu, Pendek, Kota Bharu.
Ketika ditahan, lima lelaki warga Bangladesh yang dipercayai baru memasuki Malaysia dari Thailand turut berada di dalam kenderaan berkenaan.
Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, hasil soal siasat mendapati suspek mengaku terbabit dalam kegiatan penyeludupan migran sejak Jun lalu.
Sepanjang tempoh itu, suspek mendakwa sudah melakukan kegiatan berkenaan sebanyak 15 kali dengan lokasi penghantaran meliputi Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Kelantan.
“Suspek mengaku menerima bayaran antara RM50 hingga RM6,000 bagi setiap individu, bergantung pada jarak penghantaran.
“Bayaran tersebut diuruskan oleh pasangan ejen lelaki dan wanita yang dikenali sebagai ‘Tugu’ dan ‘Emie’ yang dipercayai berada di Thailand.
“Bayaran dibuat secara tunai dan bersemuka di Kota Bharu selepas kerja penghantaran selesai,” katanya kepada pemberita pada Ahad.
Bayar RM6,000 Seorang
Menurut Ahmad Radzi, lima warga Bangladesh berusia antara 19 hingga 47 tahun itu dipercayai memasuki Malaysia dari Thailand melalui Sungai Kelantan.
Setiap seorang daripada mereka dipercayai membayar RM6,000 kepada seorang ejen wanita warga Thailand untuk memasuki negara ini.
Serbuan itu dilakukan oleh anggota Task Force Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.
“Semakan awal mendapati suspek turut positif dadah jenis amfetamina,” katanya.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kesemua individu yang ditahan dan barang rampasan kemudian diserahkan kepada JSJ serta Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kota Bharu untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Sumber: Sinar Harian
