Dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) cedera selepas dirempuh sebuah kereta yang dipandu lelaki dipercayai tekong ketika menjalankan Op Taring Wawasan di Kampung Chat, Pulau Besar, Tumpat pada Sabtu lalu.
Menurut laporan Bernama yang disiarkan Sinar Harian, kejadian kira-kira jam 8 malam itu berlaku selepas dua anggota berpangkat Lans Koperal berusia 34 dan 29 tahun mengesan sebuah Proton Preve dalam keadaan mencurigakan.
Kenderaan suspek kemudian dihalang secara melintang sebelum anggota berusia 34 tahun turun dan membuka pintu di bahagian pemandu bagi menjalankan pemeriksaan.
Bagaimanapun, suspek secara tiba-tiba mengundurkan kenderaan dengan laju sehingga menyebabkan kedua-dua anggota terbabit hampir digilis.
“Saya sempat berpaut pada stereng kenderaan suspek dan menarik keluar anak kunci.
“Tindakan itu menyebabkan kenderaan berhenti dan suspek berjaya ditahan,” kata anggota berusia 34 tahun itu ketika ditemui di Pengkalan Kubor pada Selasa.
Dia mengalami luka pada bahagian betis dan kaki akibat kejadian tersebut.
Pemeriksaan lanjut terhadap Proton Preve berkenaan menemukan enam wanita warga Myanmar berusia antara 20 hingga 25 tahun yang dipercayai diseludup masuk ke negara ini melalui laluan Thailand.
Anggota Terima Dua Jahitan di Kepala
Seorang lagi anggota berusia 29 tahun berkata, dia terjatuh kerana tidak sempat mengelak kenderaan suspek yang diundurkan secara tiba-tiba.
“Saya terjatuh dan mengalami kecederaan pada lutut.
“Keadaan ketika itu memang cemas kerana semuanya berlaku dengan pantas,” katanya.
Anggota berkenaan mengalami kecederaan di kepala sehingga memerlukan dua jahitan selain luka pada siku dan lutut.
Kejadian itu merupakan kali kedua dia berdepan situasi sama selepas pernah mengalaminya ketika menyertai operasi di Jeli.
Suspek lelaki tempatan berusia 34 tahun yang dipercayai bertindak sebagai tekong ditahan bersama enam wanita Myanmar terbabit untuk siasatan lanjut.
Semakan mendapati suspek mempunyai 15 rekod lampau, kebanyakannya melibatkan kes dadah selain dua rekod rogol dan keganasan rumah tangga.
Suspek juga dilaporkan baru lima hari dibebaskan dari penjara sebelum kejadian tersebut.
Ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki itu positif dadah dan dipercayai berada di bawah pengaruh bahan terlarang ketika bertindak agresif terhadap dua anggota PGA berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam.
Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Difahamkan, enam migran terbabit memasuki negara ini dari Thailand melalui Sungai Golok sebelum menyusuri Sungai Kelantan dan akhirnya ditahan di lokasi kejadian.
Sumber: Sinar Harian
