Selamat Tinggal Selangor, Jumpa di SUKMA Kelantan 2028

Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 secara rasmi melabuhkan tirai selepas berlangsung selama sembilan hari, sekali gus menyaksikan tumpuan kini beralih kepada Kelantan yang bakal menjadi tuan rumah edisi seterusnya pada 2028.

Menurut laporan Bernama, majlis penutupan SUKMA edisi ke-22 itu berlangsung secara sederhana di Aneka Walk, SA Sentral, Shah Alam, malam tadi.

Upacara berkenaan bermula pada pukul 9 malam dengan ketibaan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah; Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Majlis turut diserikan dengan persembahan tarian selamat datang yang menampilkan tarian tradisional serta persembahan lagu rasmi temasya dwitahunan berkenaan.

Kontinjen yang mewakili negeri masing-masing turut mengambil bahagian dalam lintas hormat dan perarakan maskot sebelum Tengku Amir Shah mengisytiharkan penutupan rasmi SUKMA Selangor 2026.

Selangor Juara Keseluruhan Kali Ke-10

Tuan rumah Selangor muncul juara keseluruhan selepas mengumpul 101 pingat emas, 73 perak dan 71 gangsa.

Pencapaian tersebut membolehkan Selangor mengatasi Wilayah Persekutuan yang berada di tempat kedua dan Terengganu di kedudukan ketiga.

Kejayaan itu merupakan gelaran keseluruhan kali ke-10 buat Selangor selepas turut menjuarai edisi 1988, 1996, 1998, 2000, 2002, 2004, 2006, 2013 dan 2016 di Sarawak.

Penembak Pahang, Cheah Zen Hong dinobatkan sebagai Olahragawan SUKMA Selangor 2026, manakala perenang Selangor, Eliza Tan Ai Shen menerima anugerah Olahragawati.

Lebih 12,000 Atlet dan Pegawai

SUKMA XXII Selangor 2026 mempertandingkan 37 jenis sukan membabitkan 368 acara yang berlangsung di sembilan daerah di seluruh negeri.

Sebanyak 51 fasiliti pertandingan digunakan sepanjang temasya, manakala lebih 12,000 atlet dan pegawai daripada kontinjen negeri serta Brunei Darussalam mengambil bahagian.

Tumpuan Beralih ke Kelantan

Berakhirnya temasya di Selangor menandakan bermulanya perjalanan Kelantan untuk membuat persiapan sebagai tuan rumah SUKMA dan Para SUKMA 2028.

Kelantan bakal menerima kunjungan ribuan atlet, pegawai dan penyokong dari seluruh negara pada edisi akan datang.

Penganjuran berkenaan turut menjadi medan penting buat negeri ini mempersiapkan kontinjen yang lebih kompetitif selepas membawa pulang 14 emas, enam perak dan 16 gangsa pada SUKMA Selangor 2026.

Sumber: Bernama

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!