Sindiket Seludup PATI Guna Laluan Singapura-Phuket Sebelum Masuk Kelantan Dengan Bot

Sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dipercayai menggunakan laluan antarabangsa yang berperingkat, termasuk menerbangkan migran dari Singapura ke Phuket, Thailand sebelum membawa mereka masuk ke Malaysia menggunakan bot menerusi perairan Kelantan.

Modus operandi itu didedahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang mengesan kegiatan berkenaan bagi mengelakkan migran dikesan pihak berkuasa serta memasuki negara tanpa melalui pintu masuk yang sah.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Mohd Zawawi Abdullah berkata, migran terbabit dipercayai dibawa merentasi Thailand melalui jalan darat sebelum dibawa masuk ke Malaysia menggunakan bot.

Menurutnya, setiap migran dipercayai perlu membayar antara RM3,500 hingga RM10,000 kepada sindiket bagi membolehkan mereka memasuki negara ini menerusi laluan haram berkenaan.

“Modus operandi itu dikenal pasti hasil siasatan terhadap tangkapan PATI sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Penutupan Operasi Redback 23/2026 di Kota Bharu pada Khamis.

Warga Timur Tengah Dikenakan Bayaran Lebih Tinggi

Mohd Zawawi berkata, kadar bayaran yang dikenakan bergantung kepada lokasi asal dan kewarganegaraan migran.

Warga dari negara Timur Tengah dipercayai dikenakan bayaran lebih tinggi berbanding warga Indonesia atau Bangladesh.

Dalam tempoh tiga tahun bermula 2023 hingga Oktober 2026, seramai 334 PATI daripada pelbagai negara ditahan di perairan Kelantan menerusi 45 kes berkaitan kemasukan PATI dan tekong.

Warga Myanmar mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi iaitu 166 orang, diikuti Vietnam (61), Thailand (42), Kemboja (18), Indonesia (13), India (11), Bangladesh (empat), Laos (dua) dan Sri Lanka (seorang).

Lebih membimbangkan, sebanyak 189 PATI ditahan di perairan Kelantan bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026 sahaja.

“Lebih membimbangkan, seramai 189 PATI ditahan di perairan Kelantan bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini sahaja.

“Kedudukan Kelantan yang bersempadan dengan Thailand menjadikan perairan negeri ini terdedah kepada aktiviti penyeludupan manusia selain menjadi laluan penyeludupan dadah dan barangan kontraban,” katanya.

Rampasan Aktiviti Penyeludupan Cecah RM19.56 Juta

Menurut Mohd Zawawi, nilai keseluruhan rampasan membabitkan pelbagai aktiviti penyeludupan di Kelantan sepanjang 2023 hingga Oktober 2026 dianggarkan mencecah RM19.56 juta.

Mengulas mengenai Operasi Redback 23/2026, beliau berkata operasi itu merupakan pelaksanaan pertama seumpamanya di Kelantan dan Pantai Timur.

Operasi berkenaan melibatkan kawasan perairan seluas 1,716 kilometer persegi, bermula dari Kuala Semerak, Tok Bali hingga Kuala Guntung, Tumpat.

Beliau berkata, kerjasama strategik antara Maritim Malaysia dan Australian Border Force (ABF) bukan sahaja memperkukuh keupayaan rondaan serta pengawasan, malah meningkatkan perkongsian maklumat dan kepakaran dalam menangani ancaman jenayah rentas sempadan.

Sumber: Sinar Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!