UMNO mengumumkan penutupan rasmi akaun khas Tabung Solidariti Najib Razak selepas jumlah sumbangan orang ramai yang diterima mencapai sasaran dan mencukupi bagi tujuan pembayaran denda bekas Perdana Menteri itu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti berkenaan turut menyelesaikan semua urusan pembayaran kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini.
Menurutnya, tabung yang dilancarkan pada 18 September lalu itu diwujudkan bagi membolehkan orang ramai menyalurkan sumbangan menerusi kaedah pendanaan awam untuk membantu Datuk Seri Najib Tun Razak.
"UMNO dengan ini secara rasmi menutup akaun khas Tabung Solidariti Najib Razak yang diwujudkan untuk penerimaan dana sumbangan orang ramai dan tiada lagi keperluan untuk pendanaan awam bagi tujuan tersebut," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Terdahulu, Najib dilaporkan sudah menyelesaikan bayaran denda RM50 juta yang dikenakan terhadapnya dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Pejabat Pendaftar Jenayah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Urusan pembayaran itu diselesaikan oleh pegawai khas beliau, Ahmad Lutfi Azhar yang hadir di mahkamah kira-kira jam 11.30 pagi bagi melengkapkan prosedur pentadbiran sebelum pembayaran dimuktamadkan.
Bayaran Denda Antara Syarat Pengampunan Bersyarat
Pembayaran denda RM50 juta itu merupakan antara syarat pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 18 September lalu.
Menerusi pengampunan bersyarat berkenaan, Najib dibenarkan menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Penutupan tabung itu sekali gus menandakan berakhirnya usaha kutipan dana awam yang dilancarkan UMNO bagi membantu menyelesaikan tanggungan denda bekas Perdana Menteri berkenaan.
Dijangka Pulang Petang Ini
Susulan perkembangan itu, Najib dijangka pulang ke kediamannya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur, petang ini.
Tinjauan di kawasan kediaman bekas Presiden UMNO itu mendapati polis memperketatkan kawalan di laluan masuk ke rumah berkenaan sejak pagi tadi.
Sejak jam 10.30 pagi, sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul dilihat tiba di kawasan kediaman Najib.
Beberapa kenderaan polis serta hampir 30 pegawai dan anggota kemudian dilihat bersiap sedia mengawasi kawasan sekitar kediaman berkenaan.
Berdasarkan maklumat yang diterima, Najib dijangka pulang ke kediamannya selepas menunaikan solat Jumaat petang ini bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
