Sebuah kandang kambing yang tidak digunakan rupa-rupanya dijadikan tempat menyembunyikan 18,000 batang rokok putih dipercayai tidak bercukai dalam satu serbuan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kampung Berlian, Palekbang, Tumpat pada Rabu malam.
Serbuan kira-kira jam 10 malam itu turut membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 43 tahun yang dipercayai terbabit dalam kegiatan penjualan rokok tidak bercukai sejak lapan tahun lalu.
Komander Briged Tenggara, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, anggota Task Force Batalion 7 PGA Kuantan menemui rokok berkenaan selepas melakukan pemeriksaan di kawasan kandang kambing terbabit.
Menurutnya, operasi dijalankan susulan maklumat diterima sebelum pasukan menyerbu lokasi berkenaan.
"Ketika tiba di lokasi, seorang lelaki tampil mengaku sebagai pemilik kambing sebelum pemeriksaan menyeluruh dilakukan di sekitar kawasan itu.
"Pemeriksaan kemudian menemukan beberapa kotak berwarna coklat dan bungkusan plastik lutsinar mengandungi karton rokok putih yang disembunyikan di bawah sebuah kandang kambing tidak digunakan," katanya kepada pemberita pada Khamis.
Keseluruhan rokok yang ditemukan berjumlah 18,000 batang dengan anggaran nilai RM33,660.
Tempah Dua Peti Rokok Setiap Minggu
Ahmad Radzi berkata, soal siasat awal mendapati suspek yang bekerja sebagai peniaga mengaku sudah menjalankan perniagaan rokok tidak bercukai selama lapan tahun.
Malah, lelaki itu turut mengakui pernah ditangkap sebelum ini.
"Suspek turut memaklumkan memperoleh bekalan daripada seorang lelaki dikenali sebagai Tan yang dipercayai berpengkalan di Wakaf Bharu.
"Dia juga mengaku membuat tempahan kira-kira dua peti rokok seminggu, bergantung kepada permintaan," katanya.
Disiasat Mengikut Akta Kastam
Suspek bersama semua rokok yang dirampas kemudian diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Sumber: Sinar Harian
