Cubaan Lari Gagal, Lelaki Thailand Ditahan Bersama 9 PATI Di Tumpat

Cubaan seorang lelaki warga Thailand meloloskan diri daripada pemeriksaan Pasukan Gerakan Am (PGA) gagal apabila kereta dipandunya terbabas sebelum dia ditahan bersama sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan penipuan dalam talian.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi Isnin di Jalan Kampung Kubang Bemban, Pengkalan Kubor, Tumpat, anggota Strike Force Kompeni C Batalion 8 PGA yang menjalankan rondaan mengesan sebuah Honda Accord berwarna putih dalam keadaan mencurigakan.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, sebaik menyedari kehadiran pasukan PGA, pemandu berusia 25 tahun itu bertindak mengundurkan kenderaan untuk melarikan diri sebelum terbabas ke dalam semak berhampiran.

“Suspek enggan keluar dan mengunci pintu dari dalam menyebabkan anggota terpaksa memecahkan cermin sebelah kanan kenderaan sebelum berlaku sedikit pergelutan ketika tangkapan dibuat,” katanya.

Jumpa 22 Telefon Bimbit Dan Komputer Riba

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati pemandu terbabit merupakan warga Thailand dan ujian saringan air kencing mendapati dia positif methamphetamine.

Dalam kereta berkenaan, polis turut menemui tujuh lelaki dan dua wanita warga asing terdiri daripada warga China dan Myanmar.

Menurut Ahmad Radzi, hanya seorang daripada mereka mengemukakan pasport China namun tanpa cop kemasukan yang sah, manakala individu lain gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan.

“Mereka dipercayai memasuki negara ini melalui laluan tidak sah,” katanya.

Pemeriksaan turut menemukan 22 telefon bimbit dan sebuah komputer riba yang dipercayai digunakan untuk menjalankan aktiviti scammer.

Upah RM150 Bagi Setiap Migran

Siasatan awal mendapati pemandu terbabit mengaku terlibat membawa migran sejak Januari lalu.

Menurutnya, suspek mendakwa menerima upah RM150 bagi setiap migran yang dibawa dari kawasan Sungai Golok ke Stesen Bas Kota Bharu.

“Dia juga mengaku memperoleh kereta yang digunakan itu daripada seorang individu tidak dikenali di Kota Bharu pada harga RM9,000,” katanya.

Pihak PGA turut merampas sembilan telefon bimbit pelbagai model dan sebuah komputer riba daripada salah seorang warga asing yang ditahan.

Ahmad Radzi berkata, jumlah telefon bimbit yang banyak serta peralatan elektronik yang dirampas menimbulkan syak bahawa kumpulan berkenaan mempunyai kaitan dengan kegiatan penipuan dalam talian.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket yang terlibat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jumlah keseluruhan rampasan termasuk sebuah Honda Accord, 22 telefon bimbit, sebuah komputer riba, pasport China dan kad pengenalan Thailand dianggarkan bernilai RM77,100.

Sumber: Sinar Harian

SHARE:

TERKINI

Tiga Lelaki Ditahan, Pondok Proses Air Ketum Diserbu PGA Di Tumpat
|
Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan satu kegiatan pemprosesan…
Curi RM50 Tabung Masjid Di Wakaf Bharu, Penganggur Dipenjara Lima Bulan
|
Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah…
Selepas Empat Tahun Berehat, Rahim Maarof Berkeras Mahu Buat Persembahan Di Kota Bharu
|
Empat tahun berehat daripada dunia nyanyian bukanlah tempoh yang…
Penarik Kereta Direman Selepas Disyaki Edar Pil Kuda Bernilai RM61,000 Di Tumpat
|
Seorang duda yang mempunyai dua anak direman selama tujuh…
KRW FC Tangguh Pengambilan Pemain Baharu, Tunggu Isu Teknikal Selesai
|
Ketua Jurulatih Kelantan Red Warriors (KRW) FC, Irfan Bakti…
46 Projek Bernilai RM207.2 Juta Diluluskan Untuk Pasir Puteh
|
Pasir Puteh bakal menerima suntikan pembangunan apabila kerajaan meluluskan…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!