Guru SK Mentera Kota Bharu Juara Sayembara Penulisan Buku Kanak-Kanak Antarabangsa

Seorang guru Bahasa Melayu dari Sekolah Kebangsaan Mentera, Kota Bharu, Ahmad Safarman Dollah mengharumkan nama Kelantan apabila muncul pemenang tempat pertama kategori Novel Kanak-kanak Tahap Dua dalam Sayembara Penulisan Buku Kanak-kanak dan Remaja Antarabangsa 2026.

Kejayaan itu diraih menerusi manuskrip novel berjudul Senja dan Jalan Pulang yang berjaya menarik perhatian juri dalam pertandingan membabitkan penyertaan penulis tempatan dan luar negara, termasuk dari China, Jepun serta Singapura.

Sayembara Penulisan Buku Kanak-kanak dan remaja antarabangsa 2026


Kemenangan tersebut diraikan menerusi Majlis Penyampaian Hadiah Sayembara Penulisan Buku Kanak-kanak dan Remaja Antarabangsa 2026 yang berlangsung di Sanggar Tun Sri Lanang, Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur pada 29 Oktober lalu.

Kali Pertama Menang Kategori Novel Kanak-kanak

Menurut Ahmad Safarman, kemenangan itu menjadi pencapaian istimewa kerana merupakan kejayaan pertamanya dalam pengkaryaan genre novel kanak-kanak.

Ahmad Safarman Dollah


Beliau berkata, sebelum ini pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana bagi kategori cerpen remaja.

“Sebelum ini, saya pernah menang Hadiah Sastera Perdana kategori cerpen remaja.

“Jadi, kemenangan ini merupakan satu kejutan yang menggembirakan sebab saya yakin setiap peserta mempunyai kekuatan dan keistimewaan karya masing-masing,” katanya.

Beliau turut mengakui berasa berdebar ketika menyertai sayembara berkenaan kerana persaingan bukan sahaja melibatkan penulis tempatan, malah turut disertai penulis dari luar negara.

Harap Novel Diterbitkan Dan Dekati Pembaca

Ahmad Safarman berkata, peluang menghadiri majlis penyampaian hadiah di DBP turut memberikan pengalaman berharga apabila dapat bertemu serta bertukar pandangan dengan pengarang dan penggiat industri penerbitan tanah air.

Beliau berharap manuskrip Senja dan Jalan Pulang dapat diterbitkan sebagai sebuah novel yang mendapat tempat dalam kalangan pembaca kanak-kanak.

Lebih daripada itu, beliau mahu karya tersebut dimanfaatkan ibu bapa dan pendidik untuk memahami kepentingan menghargai perbezaan keupayaan setiap individu.

Penerima gelaran Ikon Membaca Negeri Kelantan 2026 itu turut mencadangkan supaya Sayembara Penulisan Buku Kanak-kanak dan Remaja Antarabangsa diteruskan sebagai acara tahunan.

Menurutnya, penganjuran berterusan mampu membuka lebih banyak peluang kepada bakat baharu selain memperkukuh kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa penghasilan karya kreatif yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Majlis penyampaian hadiah itu dianjurkan oleh Sanggar Ilmu Sdn. Bhd. dan Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd. dengan kerjasama DBP, menyaksikan seramai 12 pemenang serta seorang penerima anugerah khas diraikan.

Hadiah disampaikan oleh Pengerusi Sanggar Ilmu Sdn. Bhd. merangkap Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan.

Sumber: Jendela DBP

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!