Belum ada etnik Rohingya dalam kalangan lebih 10,000 warga Myanmar yang telah dihantar pulang ke negara asal mereka setakat ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan perkara itu ketika menjawab soalan tambahan yang diajukan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) pada Sidang Dewan Rakyat, Selasa.
“Dalam rekod yang kita kesan setakat ini, belum ada rakyat Rohingya yang dibawa pulang. Tetapi ini masih lagi dalam perbincangan.
“Saya percaya Menteri Luar (Datuk Seri Mohamad Hasan) dan saya, ketika bertemu dengan Presiden Min Aung Hlaing dalam beberapa hari ini, akan juga bangkitkan isu ini supaya dapat ditangani dengan sebaik mungkin.
“Bagi saya, mana-mana negara yang ingin bawa pulang rakyat mereka dari negara kita, itu kita alu-alukan,” katanya.
Penghantaran Pulang Tidak Ikut Etnik
Menurut Anwar, proses penghantaran pulang warga Myanmar tidak dibuat berdasarkan etnik tertentu.
“Setakat ini dalam perjanjian kita, kita kata bawa pulang rakyat Myanmar. Sama ada Arakan, Karen, Shan ataupun Rohingya,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata lebih 10,000 warga Myanmar telah dihantar pulang sejak awal tahun ini hasil rundingan secara langsung antara kerajaan Malaysia dan pihak berkuasa Myanmar.
Sebahagian daripada mereka dihantar pulang menggunakan pesawat atas inisiatif kerajaan Myanmar sendiri.
Kumpulan terakhir yang berjumlah kira-kira 1,400 orang pula dihantar pulang menggunakan kapal Tentera Laut Myanmar.
Jumlah Warga Myanmar Cecah 200,000
Anwar berkata jumlah warga Myanmar yang berada di Malaysia kini mencecah kira-kira 200,000 orang.
Menurut beliau, jumlah tersebut menjadikan isu berkenaan bukan sahaja membabitkan aspek kemanusiaan, malah turut berkait dengan soal keselamatan, pekerjaan dan keselesaan hidup rakyat tempatan.
“Masalah ini merupakan antara isu keselamatan dan kemanusiaan. Jumlah yang terkumpul dari Myanmar mencecah 200,000.
“Masyarakat tentunya resah kerana bila jumlah begitu besar, ia melibatkan juga soal pekerjaan, keselamatan dan keselesaan hidup rakyat tempatan,” katanya.
Sumber: Bernama
