44 Ekor Lembu Diseludup Dari Thailand Dirampas Di Tanah Merah

Sebanyak 44 ekor lembu bernilai kira-kira RM211,200 dirampas Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) dalam serbuan di Kampung Bendang Besar Jedok, Tanah Merah, malam tadi.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, operasi itu dijalankan selepas pihaknya mengesan cahaya lampu dari arah Sungai Golok bergerak menuju ke kawasan sebelah Malaysia dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 8 malam.

Menurutnya, pasukan kemudian ternampak beberapa individu mengheret lembu dari arah Sungai Golok menuju ke kawasan belakang sebuah rumah tidak bernombor yang terletak kira-kira 200 meter dari sungai.

"Pasukan ternampak beberapa individu mengheret lembu dari arah Sungai Golok menuju ke kawasan belakang sebuah rumah tidak bernombor terletak kira-kira 200 meter dari sungai.

"Beberapa lelaki dilihat memasang tag telinga pada lembu berkenaan sebelum dibawa dan dinaikkan ke bahagian muatan belakang sebuah lori.

Pasukan kemudiannya menghampiri lokasi sebelum melakukan serbuan.

Tindakan itu menyebabkan beberapa lelaki yang berada di belakang lori melarikan diri ke kawasan semak berhampiran.

Bagaimanapun, dua lelaki yang berada di tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan berjaya ditahan.

Pemeriksaan terhadap lori berkenaan menemukan 22 ekor lembu di bahagian muatan belakang.

Sebanyak 21 ekor lagi ditemui di belakang rumah, manakala seekor lembu sudah dimuatkan ke dalam sebuah van.

Dua Surat Kebenaran Memindah Ternakan Ditemui

Ahmad Radzi berkata, pemeriksaan lanjut di beranda rumah turut menemukan dua Surat Kebenaran Memindah Ternakan yang meragukan.

Dokumen terbabit memerlukan siasatan lanjut bagi menentukan kesahihan serta kaitannya dengan ternakan yang ditemukan.

"Kesemua 44 ekor lembu itu dianggarkan bernilai RM211,200 dan dipercayai diseludup dari Thailand.

"Kedua-dua suspek berusia 20 tahun mengaku bekerja dengan seorang lelaki warga Thailand dan menerima upah sebanyak RM1,300 bagi menghantar lembu ke Negeri Sembilan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen135(1)(e) Akta Kastam 1967," katanya.

Kesemua 44 ekor lembu berkenaan kini menjadi sebahagian daripada siasatan pihak berkuasa berhubung kegiatan penyeludupan terbabit.

Sumber: Harian Metro

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!