Sebanyak 9,920 peranti vape pelbagai jenis dan jenama bernilai RM793,600 termasuk sebuah lori dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam serbuan di Jalan Sultanah Zainab, Kota Bharu, awal pagi Jumaat.
Dalam operasi kira-kira jam 6.30 pagi itu, seorang pemandu lori berusia 38 tahun turut ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen sah berkaitan barangan yang dibawanya.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota Strike Force Kompeni B Batalion 7 PGA Kuantan dengan bantuan anggota Risik Batalion 7 menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.
Menurutnya, pihak PGA terlebih dahulu mengekori sebuah lori jenis Isuzu berwarna putih sebelum menahannya di tepi jalan berkenaan hasil maklumat awal yang diterima.
Pemeriksaan di bahagian belakang lori itu kemudian menemukan beberapa kotak berwarna coklat yang mengandungi ribuan peranti vape.
Pemandu Dibayar RM280 Bawa Vape dari Kuala Lumpur
Ahmad Radzi berkata, siasatan awal mendapati pemandu terbabit menerima upah sebanyak RM280 untuk membawa peranti vape berkenaan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu.
Barangan itu kemudiannya dijadualkan dihantar ke Kampung Telaga Bata, Tumpat dan dipercayai untuk diseludup ke negara jiran, Thailand.
"Sebanyak 9,920 peranti vape pelbagai jenis dan jenama serta sebuah lori dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM943,600. Pemandu lori berusia 38 tahun ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen sah berkaitan barangan terbabit.
"Siasatan awal mendapati, lelaki itu menerima upah RM280 untuk membawa peranti vape itu dari Kuala Lumpur dan urusan penerimaan barangan itu dilakukan di Kota Bharu.
"Peranti vape itu kemudian akan dihantar ke Kampung Telaga Bata, Tumpat dan dipercayai untuk diseludup ke negara jiran, Thailand," katanya menerusi satu kenyataan.
Kes Diserahkan kepada MPKB
Beliau berkata, pemandu lori bersama semua barangan rampasan diserahkan kepada Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Penjaja MPKB 1896 (Pindaan) 200 - UUK 3 kerana menjaja tanpa lesen MPKB yang sah.
Sumber: Harian Metro
