Tekong Darat Ditahan Bersama 12 PATI Myanmar Di Pasir Mas

Seorang lelaki warga Thailand yang dipercayai berperanan sebagai tekong darat ditahan bersama 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar dalam serbuan di Kubang Gadong, Sektor Jeram, Pasir Mas pada Ahad.

Operasi kira-kira jam 8 malam itu turut menyaksikan dua lelaki bertindak agresif dengan melakukan kekerasan terhadap anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), malah salah seorang daripada mereka dipercayai memegang senjata tajam.

Komander Briged Tenggara, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat berhubung aktiviti kemasukan PATI tanpa dokumen perjalanan yang sah.

Menurutnya, pasukan risikan dan pemerhatian yang digerakkan ke kawasan berkenaan mengesan sekumpulan individu bergerak dalam keadaan gelap dan mencurigakan.

"Keadaan itu menimbulkan syak bahawa kumpulan berkenaan cuba mengelakkan diri daripada dikesan pihak berkuasa sebelum pasukan bertindak melakukan serbuan.

"Ketika serbuan dijalankan, dua lelaki bertindak agresif dan melakukan kekerasan terhadap anggota pasukan. Pemeriksaan turut mendapati terdapat senjata tajam di tangan individu terbabit yang boleh mengancam keselamatan anggota bertugas," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Ahmad Radzi berkata, tindakan sewajarnya diambil bagi mengawal keadaan dan mengatasi ancaman berkenaan sebelum seorang lelaki warga Thailand yang dipercayai berperanan sebagai tekong berjaya ditahan.

Bagaimanapun, seorang lagi lelaki berjaya meloloskan diri dari lokasi serbuan.

Pemeriksaan lanjut kemudian membawa kepada penahanan 12 lagi warga Myanmar yang terdiri daripada lapan lelaki dan empat perempuan.

"Kesemua 13 individu itu disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan atau permit sah untuk berada di negara ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Kesemua tangkapan dibawa ke Komtak Jeram Perdah bagi tujuan dokumentasi, penyediaan laporan polis dan tindakan siasatan lanjut.

Sumber: Sinar Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!