Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas sebanyak 4,860 anak pokok durian yang dianggarkan bernilai RM243,000 dalam dua serbuan berasingan di Rantau Panjang, Kelantan, semalam.
Dalam operasi menerusi Op Taring Wawasan Kelantan itu, dua lelaki berusia 38 dan 52 tahun turut ditahan, manakala dua lori jenis Isuzu yang dianggarkan bernilai RM300,000 disita.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan pertama dilakukan di Pangkalan Haram Yasin, Lubok Gong, kira-kira jam 9 pagi.
Dalam serbuan itu, pihaknya merampas 3,390 anak pokok durian bernilai RM169,500 dan menahan seorang lelaki berusia 38 tahun.
Menurutnya, lelaki terbabit mendakwa baru bekerja sebagai pemandu lori sejak empat bulan lalu dan diarahkan membawa anak pokok berkenaan dari Muar, Johor untuk dihantar ke Rantau Panjang.
"Lelaki itu mendakwa mengambil upah RM1,500 untuk sekali penghantaran bagi jarak jauh.
"Dalam serbuan kedua di Jalan Lebuhraya Rantau Panjang pada jam 10 pagi, sebanyak 1,470 pokok durian bernilai RM73,500 dirampas dan lelaki berusia 52 tahun ditahan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Radzi berkata, lelaki kedua turut mendakwa mengambil upah RM1,200 bagi setiap penghantaran jarak jauh, dengan bekalan anak pokok berkenaan juga diperoleh dari Muar, Johor.
Beliau berkata, kesemua anak pokok durian yang dirampas dirujuk kepada Jabatan Pertanian Kota Bharu kerana disyaki berpenyakit.
"Rampasan dirujuk kepada Jabatan Pertanian Kota Bharu kerana disyaki berpenyakit dan untuk diambil tindakan selanjutnya mengikut Seksyen 6 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167)," katanya.
Sumber: Berita Harian
