Dua Remaja dan Bayi Setahun Terima Organ Allahyarham Aidil

Pemergian Muhammad Aidil Ahmad Zupardi, 23, bukan sahaja meninggalkan kesedihan buat keluarganya, malah pendermaan organ Allahyarham turut memberi harapan baharu kepada tiga pesakit yang memerlukan.

Tiga organ miliknya, iaitu dua buah pinggang dan hati, masing-masing didermakan kepada dua remaja serta seorang bayi lelaki berusia setahun.

BERKAITAN:
Lampu Hijau HPUSM Dinyalakan, Penghormatan Terakhir Buat Aidil
Kornea Aidil Bakal Diterima Pesakit HRPZ II
Jaga Makan, Tak Merokok Dan Kira Kalori Setiap Hari, Sebab Itu Organ Muhammad Aidil Cantik

Kakak Allahyarham, Siti Hajar berkata, keluarga dimaklumkan oleh doktor Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) mengenai identiti umum penerima organ selepas adiknya meninggal dunia malam kelmarin.

"Semalam kami dimaklumkan kedua-dua buah pinggang milik arwah adik kini milik remaja lelaki berusia 15 tahun dan remaja perempuan berusia 14 tahun.

"Proses pemindahan organ itu dikatakan dilakukan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Selayang semalam.

"Hati arwah adik pula kini berpindah kepada bayi lelaki berusia setahun di Hospital Sungai Buloh.

"Tiada apa yang diharapkan selain rasa syukur apabila insan lain diberi peluang untuk terus hidup dengan sihat hasil daripada sumbangan arwah adik," katanya ketika dihubungi.

Keluarga Tidak Rancang Bertemu Penerima Organ

Menurut Siti Hajar, keluarganya tidak mempunyai perancangan untuk bertemu penerima organ Allahyarham buat masa ini.

Bagaimanapun, mereka berharap dapat mengetahui perkembangan individu yang menerima sumbangan berkenaan.

"Setakat ini kami sekeluarga tiada perancangan mahu berjumpa dengan penerima organ milik arwah Aidil, namun jika ada rezeki dapat tahu siapa yang dapat organ milik arwah pun itu sudah memadai.

"Kami hanya mahu tahu siapa sahaja kerana rasa bangga dengan pengorbanan Allahyarham, namun kita faham bahawa maklumat penerima itu adalah sulit atau rahsia," katanya.

Kehilangan Aidil Sukar Diterima Keluarga

Dalam masa sama, Siti Hajar berkata pemergian adik bongsunya itu memberi kesan besar kepada seluruh keluarga, terutama ibu dan bapanya.

Lebih memilukan, keluarga mereka baru sahaja kehilangan nenek tersayang kira-kira tiga minggu lalu.

"Kesedihan kehilangan nenek tiga minggu lalu belum terubat, kini kami berdepan kehilangan Muhammad Aidil pula.

"Ketika kematian nenek tiga minggu lalu di Senawang, Negeri Sembilan, kami dari Kelantan bergegas ke sana dan Allahyarham Aidil ketika itu turut masuk ke liang lahad menurunkan jenazah nenek.

"Tidak sangka kini kami pula meratapi sedih kehilangannya. Ibu ayah paling terasa kerana arwah adik tinggal bersama mereka dan arwah sangat manja dengan kami semua selain seorang yang sangat pemurah," katanya.

Sumber: Harian Metro

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!