Sebuah Kereta Sumbat Lapan PATI Myanmar Terbabas Ketika Dikejar PGA Di Tumpat

Cubaan seorang lelaki tempatan membawa lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan sebuah Honda Accord terbongkar selepas kereta itu terbabas ketika dikejar anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kampung Neting, Tumpat, pada Selasa.

Kejadian kira-kira jam 6 pagi itu turut membawa kepada penahanan pemandu berusia 25 tahun bersama lapan warga Myanmar, terdiri daripada empat lelaki dan empat wanita berusia antara 18 hingga 38 tahun.

Komander Briged Tenggara, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, anggota Task Force Batalion 7 PGA Kuantan mengesan kereta berkenaan dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kampung Neting.

Menyedari kehadiran anggota PGA, pemandu terbabit bertindak memecut sebelum terbabas di bahu jalan di Jalan Tali Air Kampung Neting menghala ke Jalan Pak Keral.

"Ketika diarahkan keluar daripada kenderaan, pemandu berkenaan cuba melarikan diri sehingga berlaku pergelutan dengan anggota serbuan dan menyebabkan kecederaan pada lengan kanannya.

"Pemeriksaan lanjut menemui lapan warga Myanmar di bahagian penumpang hadapan dan belakang kenderaan itu," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Pemeriksaan turut mendapati kereta berkenaan menggunakan nombor pendaftaran palsu, manakala kesemua warga Myanmar yang dibawa gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.

Menurut Ahmad Radzi, soal siasat awal mendapati lelaki itu mengaku menerima upah RM80 bagi setiap PATI yang dibawa dan menjadikan kegiatan berkenaan sebagai pekerjaan sambilan sejak awal November lalu.

Suspek juga mengaku sudah tiga kali melakukan penghantaran sejak terbabit dalam kegiatan penyeludupan migran itu.

"Suspek memaklumkan urusan mengambil dan menghantar PATI diselaraskan seorang individu dikenali sebagai Abe Din yang tinggal di Thailand, manakala bayaran selepas selesai tugas akan dikirim kepada tekong laut," katanya.

Kesemua warga Myanmar itu dipercayai memasuki negara ini melalui Pantai Geting dengan bantuan ejen dari Myanmar yang mengenakan bayaran kira-kira RM3,000 seorang.

Mereka juga dijanjikan pekerjaan sebagai tukang cuci di Kuala Lumpur sebelum dijadualkan dibawa ke Lubok Jong, Pasir Mas untuk diserahkan kepada transporter lain bagi perjalanan seterusnya ke ibu negara.

Dalam perkembangan sama, ujian saringan air kencing terhadap pemandu mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

"Kesemua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Sumber: Sinar Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!