Sebuah rumah di Kampung Bunohan, Tumpat dipercayai dijadikan lokasi pengumpulan beras yang disyaki diseludup dari Thailand sebelum dijual kepada pelanggan sekitar Kota Bharu sejak tahun lalu.
Kegiatan itu terbongkar selepas sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) menyerbu kediaman berkenaan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan semalam.
Dalam serbuan itu, pihak berkuasa merampas kira-kira 1.9 tan beras pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM8,000.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, pemeriksaan di rumah berkenaan menemukan lapan jenis beras yang dipercayai dibawa masuk dari Thailand.
Beras terbabit dipercayai diseludup melalui pangkalan haram Pohon Tar, Tumpat menggunakan kereta.
Operasi itu turut membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 22 tahun yang merupakan penghuni rumah berkenaan.
Menurut Ahmad Radzi, hasil siasatan mendapati lelaki itu mengaku terbabit dalam kegiatan membeli beras seludup sejak 2025 sebelum menjualnya serta menerima tempahan untuk pasaran sekitar Kota Bharu.
“Hasil siasatan lelaki itu memaklumkan dia terlibat dalam aktiviti membeli beras seludup sejak 2025 dan menjual serta menerima tempahan untuk dipasarkan sekitar Kota Bharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kesemua beras yang dirampas diserahkan kepada Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 20 Akta Kawalselia Padi dan Beras Negara 1994.
Sumber: Bernama
