Pengorbanan terakhir Allahyarham Muhammad Aidil Ahmad Zupardi terus memberi harapan kepada pesakit lain apabila korneanya bakal didermakan kepada seorang pesakit di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.
Proses pemindahan kornea berkenaan dijadualkan berlangsung minggu ini.
BERKAITAN:
Dua Remaja dan Bayi Setahun Terima Organ Allahyarham Aidil
Lampu Hijau HPUSM Dinyalakan, Penghormatan Terakhir Buat Aidil
Jaga Makan, Tak Merokok Dan Kira Kalori Setiap Hari, Sebab Itu Organ Muhammad Aidil Cantik
HRPZ II menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan, lampu hijau di pekarangan hospital itu akan terus dinyalakan selama seminggu sebagai simbolik kejayaan pendermaan organ dan tisu daripada seorang penderma di Kelantan.
Menurut kenyataan itu, proses pemindahan dua buah pinggang daripada penderma berkenaan juga sudah berjaya dilakukan di hospital penerima.
"Untuk makluman, proses transplantasi buah pinggang sudah berjaya dilaksanakan di hospital penerima. Dua buah pinggang daripada penderma terbabit sudah berjaya ditransplantasikan kepada dua orang pesakit yang memerlukan.
"Seterusnya, proses transplantasi kornea dijadualkan berlangsung pada minggu ini, insya-Allah membabitkan seorang pesakit dari HRPZ II," menurut kenyataan itu.
Pendermaan Beri Harapan Baharu
HRPZ II memaklumkan, di sebalik kehilangan insan tersayang, keputusan untuk mendermakan organ dan tisu mampu memberikan peluang serta harapan baharu kepada pesakit yang memerlukan.
"Keputusan untuk mendermakan organ adalah satu pengorbanan yang amat bermakna. Ia bukan sahaja berpotensi menyelamatkan nyawa, malah mampu memberikan sinar harapan dan mengubah kehidupan insan lain.
"HRPZ II merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada penderma dan keluarga atas keprihatinan serta keputusan yang amat mulia ini.
"Semoga kebaikan itu menjadi inspirasi kepada lebih ramai masyarakat untuk memahami dan menyokong usaha pendermaan organ dan tisu,".
Tiga Organ Aidil Sebelum Ini Didermakan
Sebelum ini, media melaporkan tiga organ Muhammad Aidil, iaitu dua buah pinggang dan hati, telah didermakan kepada tiga penerima termasuk dua remaja serta seorang bayi lelaki berusia setahun.
Kakak Allahyarham, Siti Hajar sebelum ini berkata, keluarga dimaklumkan oleh doktor Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) mengenai identiti umum penerima organ selepas adiknya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.
Kini, pendermaan kornea pula dijadualkan untuk seorang pesakit di HRPZ II, sekali gus meneruskan sumbangan Allahyarham kepada mereka yang memerlukan.
Sumber: Harian Metro
