Amalan menjaga kesihatan yang dilakukan Allahyarham Muhammad Aidil Ahmad Zupardi, 23, sepanjang hayatnya menjadi perhatian apabila organ dan tisunya berada dalam keadaan baik untuk didermakan selepas pemergiannya.
BERKAITAN:
Lampu Hijau HPUSM Dinyalakan, Penghormatan Terakhir Buat Aidil
Dua Remaja dan Bayi Setahun Terima Organ Allahyarham Aidil
Kornea Aidil Bakal Diterima Pesakit HRPZ II
Allahyarham yang bekerja sebagai pekerja kafe turut dikenali sebagai seorang yang murah senyuman, pemurah dan gemar membantu orang lain.
Menerusi perkongsian di TikTok, kakaknya, Siti Hajar mendedahkan adiknya sangat menitikberatkan penjagaan kesihatan, termasuk tidak merokok serta mengira pengambilan kalori setiap hari.
Perkara sama turut dikongsikan Hajar ketika ditemu bual sebuah stesen radio apabila doktor memaklumkan organ Muhammad Aidil berada dalam keadaan baik kerana dia menjaga pemakanan sepanjang hayatnya.
“Organnya cantik sebab dia menjaga pemakanan. Dia mengira kalor setiap hari dan tidak merokok,” katanya.
Rutin Jaga Kesihatan Jadi Perhatian
Menurut perkongsian itu, amalan menjaga pemakanan dan kesihatan sememangnya menjadi sebahagian daripada rutin harian Muhammad Aidil.
Kisah tersebut mengundang rasa sebak dalam kalangan netizen yang rata-ratanya kagum dengan disiplin Allahyarham menjaga kesihatan diri.
Lebih menyentuh hati, organ dan tisu yang didermakan berpeluang membantu pesakit lain yang memerlukan.
“Bukan setakat luaran sahaja cantik, Alhamdulillah organ dia pun elok,” tulis @IbuDanishDhafwatul.
“Kakak dia beritahu dia (Allahyarham) memang jaga makan, jaga kesihatan dan tidak merokok. Jenis main gym dan makan kira kalori setiap hari,” balas @MamiZyyn pula.
Seorang lagi pengguna, @Puteri Saadong menyifatkan pemergian Muhammad Aidil sebagai satu pengorbanan besar apabila organ miliknya berpeluang membantu memberi sinar kepada insan lain.
“Rupa-rupanya dia menjaga kesihatan untuk selamatkan 10 nyawa yang lain. Masya-Allah, semoga Allah beri ganjaran syurga buatmu dik. Amin,” katanya.
Ada juga netizen yang menyifatkan Allahyarham sebagai insan hebat kerana sentiasa memastikan kesihatannya berada dalam keadaan baik.
Keluarga Setuju Dermakan Organ dan Tisu
Terdahulu, media melaporkan keluarga Muhammad Aidil bersetuju mendermakan organ dan tisu Allahyarham selepas disahkan mengalami kematian otak susulan kemalangan motosikal di Kelantan.
Antara yang didermakan termasuk buah pinggang, paru-paru, kornea mata serta tulang, kecuali kulit.
Keputusan itu dibuat keluarga sebagai usaha meneruskan kebaikan Allahyarham yang sememangnya dikenali sebagai seorang pemurah dan tidak pernah lokek membantu orang lain ketika hayatnya.
Sumber: Kosmo!
