Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), termasuk juruterbang, dipercayai terbabit dalam kes penyeludupan dadah melibatkan jumlah yang besar.
Beliau menyifatkan perkara itu amat membimbangkan dan menegaskan tindakan tegas perlu diambil terhadap semua pihak yang terlibat tanpa mengira pangkat.
Bercakap pada sidang media penutup, Anwar berkata polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memerlukan sedikit masa untuk melengkapkan siasatan berhubung kes berkenaan.
"Saya menyatakan perkara ini pada sidang media ini kerana tidak mahu mana-mana pihak beranggapan bahawa kita sengaja melengah-lengahkan tindakan," katanya.
Pegawai berpangkat leftenan dan kapten turut terbabit
Menurut Anwar, antara individu yang terlibat termasuk pegawai berpangkat leftenan dan kapten selain juruterbang.
"Bagaimana kita boleh mengharapkan negara ini selamat jika kita membiarkan perkara ini berlaku?
"Ini membabitkan pasukan keselamatan. Ibarat 'harapkan pagar, pagar makan padi'," katanya merujuk kepada perbuatan mengkhianati amanah yang diberikan kepada pasukan keselamatan.
Anwar berkata, beliau sudah membincangkan perkara itu bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Malek Razak Sulaiman serta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Katanya, semua pihak bersetuju bahawa tiada kompromi dalam mengambil tindakan terhadap mereka yang terbabit.
"Ini bukan soal menjaga imej mana-mana jabatan," katanya sambil menegaskan pihak polis perlu diberikan ruang untuk melengkapkan siasatan.
Lebih 100 individu ditahan, aset berbilion ringgit disita
Dalam perkembangan sama, Anwar berkata kerajaan sudah mengambil tindakan terhadap kumpulan terancang yang terbabit dalam pengedaran dadah dan penyalahgunaan sistem kewangan.
Menurutnya, lebih 100 individu ditahan mengikut Akta Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA), manakala aset bernilai berbilion ringgit disita atau dibekukan.
Beliau berkata tindakan itu membuktikan keseriusan kerajaan dalam membanteras penyeludupan dadah serta kegiatan jenayah berkaitan.
"Negara tidak boleh membiarkan salah laku seperti ini berterusan, sama ada ia membabitkan golongan di peringkat tertinggi, penjawat awam mahupun anggota penguat kuasa," katanya.
Sumber: Berita Harian
