‘Jangan Panik, Bekalan Makanan Negara Cukup’ – Mohamad Sabu

Orang ramai diminta tidak melakukan pembelian makanan secara berlebihan atau panik susulan kebimbangan terhadap fenomena Super El Nino kerana bekalan makanan negara ketika ini masih stabil dan mencukupi.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, keadaan bekalan makanan negara masih terkawal dan belum mencapai tahap krisis seperti yang dilaporkan berlaku di beberapa negara Eropah.

Bagaimanapun, katanya, kementerian sedang membuat persediaan awal bagi menghadapi kemungkinan cuaca panas berpanjangan yang boleh memberi kesan kepada sektor pertanian.

Antara sektor yang diberi perhatian ialah tanaman padi, sayur-sayuran dan perikanan pantai.

"Justeru, orang ramai tidak perlu panik kerana bekalan makanan negara ketika ini masih mencukupi. Kita belum sampai ke tahap seperti di Eropah (krisis makanan).

"Kementerian sedang memantau perubahan cuaca dengan kerjasama Jabatan Meteorologi bagi memastikan persediaan dapat dilakukan lebih awal," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Skim Takaful Tanaman Padi dan Ramah Mesra Bersama Pesawah Negeri Kelantan di Bendang Belukar, Pasir Mas, hari ini.

Bersedia laksana pembenihan awan di Kedah

Dalam perkembangan sama, Mohamad berkata, kerajaan bersedia melaksanakan operasi pembenihan awan di Kedah sekiranya keadaan cuaca memerlukan langkah berkenaan.

Katanya, tindakan itu penting memandangkan sumber bekalan air di negeri tersebut bergantung kepada empangan termasuk Empangan Pedu.

Menurutnya, paras air di tiga empangan di Kedah ketika ini masih berada pada tahap baik, namun keadaan berpotensi menjadi kritikal sekiranya hujan tidak turun dalam tempoh yang panjang.

"Ketika ini, paras air di tiga empangan di Kedah masih berada pada tahap baik, namun keadaan boleh menjadi kritikal sekiranya tiada hujan dalam tempoh panjang.

"Jika keadaan itu berlaku, kita akan cuba melaksanakan pembenihan awan dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah," ujarnya.

Kegunaan domestik diberi keutamaan jika air kritikal

Mohamad berkata, sekiranya bekalan air mencapai tahap kecemasan, keutamaan akan diberikan kepada kegunaan domestik termasuk bekalan air minuman.

Dalam keadaan itu, bekalan air untuk pengairan sawah mungkin terpaksa ditangguhkan bagi memastikan keperluan asas penduduk dapat dipenuhi terlebih dahulu.

Sumber: Kosmo!

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!