Malaysia dianggarkan memerlukan tempoh sehingga 111 tahun untuk menyelesaikan isu lebih 225,000 pelarian yang berada di negara ini sekiranya proses penghantaran ke negara ketiga kekal pada kadar semasa.
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, hanya 974 pelarian dihantar ke negara ketiga bagi tempoh Januari hingga Jun 2026.
Jumlah itu menimbulkan persoalan mengenai keupayaan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dalam membantu menyelesaikan isu berkenaan.
Menurutnya, jika penghantaran keluar hanya sekitar 2,000 orang setahun, Malaysia memerlukan lebih satu abad untuk menyelesaikan penempatan semula kesemua pelarian terbabit.
"Kalau kita ada 225,000 orang pelarian, separuh tahun hantar 974, katakanlah setahun hantar 2,000 orang, kita perlukan 111 tahun nak hantar mereka balik.
"Ini tak masuk akal. Sebab itu saya kata, UNHCR selama ini terlalu mengambil mudah kerana Malaysia membuka ruang, seolah-olah tak apalah, masuklah," katanya ketika sidang akhbar di Dewan Rakyat pada Khamis.
UNHCR diminta bertanggungjawab cari penyelesaian
Sehubungan itu, bekas Menteri Pendidikan berkenaan menegaskan UNHCR perlu mengambil tanggungjawab mencari penyelesaian segera, khususnya dengan mempercepatkan proses penghantaran pelarian ke negara ketiga.
Beliau berpandangan pengurusan isu berkenaan tidak sepatutnya diletakkan sepenuhnya di bahu Malaysia.
Pada masa sama, katanya, penghantaran ke negara ketiga bukan satu-satunya pilihan kerana kerajaan juga boleh menggunakan saluran diplomasi bagi membolehkan pelarian dihantar pulang ke negara asal.
"Kita tidak perlu takut dengan tekanan dunia kalau nak hantar balik ke negara asal. Dunia yang menekan kita ini, sepatutnya mengambil mereka yang kita nak hantar balik ini.
"Ini kita diletakkan dalam keadaan seolah-olah bila kita nak hantar balik, dunia tekan kita, kita takut. Apa nak takut? Ini kedaulatan negara," ujar beliau.
Cadang manfaatkan platform diplomasi ASEAN
Mohd Radzi turut berkata, Malaysia perlu memanfaatkan platform diplomasi serantau termasuk ASEAN serta saluran antarabangsa bagi mencari penyelesaian menyeluruh terhadap isu berkenaan.
Beliau mengambil contoh pengurusan pelarian Vietnam sebelum ini yang menyaksikan sebahagian mereka ditempatkan di negara ketiga, manakala baki pelarian dihantar pulang ke negara asal melalui rundingan.
Kerajaan diminta pantau penghentian pendaftaran baharu
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Radzi menggesa kerajaan memantau pelaksanaan keputusan UNHCR untuk menghentikan pendaftaran pelarian baharu.
Beliau turut meminta kerajaan mendapatkan akses kepada pangkalan data agensi itu bagi mengenal pasti jumlah sebenar pelarian yang telah berdaftar serta memastikan tiada pertambahan selepas keputusan berkenaan diumumkan.
"Sebab itu saya mohon kerajaan pantau perkara ini untuk memastikan bahawa pendaftaran itu benar-benar telah dihentikan.
"Salah satu caranya adalah untuk kerajaan mendapatkan akses kepada data sistem data maklumat pelarian ini," ujarnya.
Sumber: Sinar Harian
