Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Pasir Mas hari ini atas pertuduhan menjalankan urus niaga melibatkan 431 liter minyak petrol tanpa memiliki lesen yang sah.
Menurut kenyataan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, tertuduh, Mohd Irfan Mohidin bin Che Man membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Tuan Zulkpli bin Abdullah selepas pertuduhan dibacakan.
Mohd Irfan didakwa melakukan kesalahan mengikut Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Tertuduh didakwa menjalankan urus niaga barang kawalan, iaitu minyak petrol secara runcit atau borong tanpa memiliki lesen yang sah.
Mahkamah kemudian menetapkan 5 November depan untuk sebutan semula bagi mengemukakan fakta kes dan menjatuhkan hukuman.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Edabayu binti Subhan dan Muhammadi Iman bin Masjuri.
Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu tarikh sebutan semula.
Sumber: KPDN Kelantan
