Seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan maut selepas dipercayai ditikam ibu kandungnya dalam kejadian di Pantai Remis, Perak, pada 14 November lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 1 petang pada hari bayi berkenaan dilahirkan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati ibu bayi berusia 19 tahun itu dipercayai melakukan perbuatan berkenaan di rumahnya sebelum menghubungi teman lelakinya untuk membantu menanam mayat bayi tersebut di belakang rumah.
Terbongkar selepas ibu bayi beritahu rakan
Mohd Alwi berkata, kejadian itu terbongkar selepas wanita terbabit menceritakan perkara berkenaan kepada seorang rakannya.
"Kejadian ini terbongkar selepas ibu bayi itu memaklumkan perkara tersebut kepada seorang rakannya.
"Rakannya yang berasa bersalah kemudian tampil membuat laporan polis sehingga membawa kepada tindakan siasatan dan penahanan ibu mangsa dan teman lelakinya," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada Khamis.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati terdapat dua kesan tikaman pada bahagian dada bayi berkenaan menggunakan senjata tajam.
"Kita juga sudah memperoleh senjata yang dipercayai digunakan oleh suspek dalam kejadian itu," katanya.
Ibu bayi akan jalani pemeriksaan psikiatri
Dalam perkembangan sama, Mohd Alwi memaklumkan wanita terbabit akan dihantar menjalani pemeriksaan psikiatri bagi mengenal pasti keadaan kesihatan mentalnya.
Kedua-dua individu berkenaan direman dari 18 hingga 23 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sumber: Sinar Harian
