Sebanyak 197 batang kayu gaharu dan 310.8 kilogram (kg) kepingan kayu sama bernilai lebih RM3.47 juta dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Baharu Cherang Hangus, Chiha Tinggi, Pasir Mas.
Dalam serbuan kira-kira jam 5 petang semalam, seorang wanita warga Thailand berusia 54 tahun bersama anak perempuannya berusia 19 tahun turut ditahan kerana dipercayai menyimpan kayu gaharu berkenaan tanpa lesen atau permit yang sah.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, pemeriksaan dilakukan di bahagian dalam dan luar rumah, termasuk stor serta sebuah kilang lama yang terletak bersebelahan kediaman berkenaan.
Hasil pemeriksaan itu membawa kepada penemuan kayu gaharu dalam pelbagai saiz serta kepingan kayu yang disimpan di lokasi terbabit.
Selain kayu gaharu, anggota PGA turut merampas tujuh unit tong plastik dan 11 keping dokumen yang meragukan.
Kilang Lama Pernah Ada Lesen Mengumpul Gaharu
Menurut Ahmad Radzi, siasatan mendapati rumah dan kilang lama bersebelahan kediaman itu pernah dijadikan tempat latihan Jabatan Perhutanan dari 2011 hingga 2015.
Lokasi berkenaan mula beroperasi sejak tahun 2000 dan pernah mempunyai lesen mengumpul kayu gaharu.
Katanya, kayu-kayu tersebut diperoleh dari hutan serta tanah milik persendirian di sekitar Kelantan sejak 2016, sebelum lesen atau permit untuk memindahkannya ditamatkan oleh Jabatan Hutan pada tahun sama.
“Siasatan lanjut mendapati, rumah dan kilang lama bersebelahan kediaman tersebut pernah dijadikan sebagai tempat latihan Jabatan Perhutanan pada 2011 hingga 2015.
“Lokasi tersebut telah beroperasi sejak 2000 dan mempunyai lesen mengumpul kayu gaharu. Kesemua kayu tersebut diperoleh dari hutan dan tanah milik persendirian sekitar Kelantan sejak 2016 sebelum lesen atau permit memindah ditamatkan oleh Jabatan Hutan pada tahun yang sama,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Pemilik Asal Kilang Meninggal Dunia
Ahmad Radzi berkata, pemilik asal kilang berkenaan yang juga suami kepada wanita warga Thailand itu meninggal dunia pada 6 September lalu.
Sejak itu, kesemua kayu gaharu yang disimpan di lokasi terbabit diuruskan dan dijaga oleh ahli keluarganya.
Bagaimanapun, pemeriksaan PGA mendapati kayu-kayu berkenaan disimpan tanpa lesen atau permit yang sah.
Kedua-dua wanita bersama semua barang rampasan kemudian diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan untuk tindakan dan siasatan lanjut mengikut Seksyen 84 Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).
Sumber: Kosmo
