Belanjawan 2027: Penduduk Harap Rel Rantau Panjang-Sungai Golok Dihidupkan Semula

Penyambungan semula perkhidmatan kereta api antara Rantau Panjang dan Sungai Golok, Thailand menjadi antara harapan utama penduduk setempat menjelang pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober.

Penduduk melihat projek itu mampu menghidupkan semula ekonomi pekan Rantau Panjang, selain merancakkan aktiviti perdagangan, pelancongan dan pergerakan masyarakat di kedua-dua belah sempadan.

Menurut tinjauan Bernama, penduduk berharap kerajaan mempertimbangkan peruntukan untuk membina semula stesen kereta api Rantau Panjang serta mengaktifkan kembali laluan yang pernah menjadi penghubung penting kepada penduduk dan perdagangan rentas sempadan.

Penduduk Rantau Panjang, Mohamad Naziz Abdul Zaman, 48, berkata penghentian perkhidmatan kereta api sebelum ini mengejutkan ramai penduduk kerana pekan berkenaan pernah menjadi tumpuan dengan pergerakan kereta api penumpang dan kargo.

“Stesen kereta api Rantau Panjang itu kini dipenuhi semak samun, manakala bangunannya turut mengalami kerosakan akibat vandalisme.

“Saya rasa pada 2019, stesen baru sahaja dibaik pulih tetapi apabila ia ditamatkan perkhidmatan, memang rasa terkejut. Dahulu kita selalu nampak kereta api penumpang dan kargo keluar masuk sempadan. Apa yang saya tahu, selain koc kargo, memang ada juga koc penumpang,” katanya.

Beliau berharap projek pembinaan stesen baharu dapat dipertimbangkan dalam Belanjawan 2027. Projek itu bukan sahaja boleh memudahkan pergerakan rakyat Malaysia dan Thailand, malah berpotensi meningkatkan aktiviti perdagangan serta pelancongan di kawasan sempadan.

Penduduk mahu ekonomi kembali rancak

Mohamad Abdul Fatah, 75, yang sudah menetap di Pekan Rantau Panjang selama 40 tahun berkata penduduk pasti gembira sekiranya perkhidmatan berkenaan dimulakan semula.

“Dahulu di sini ada perkhidmatan dari Sungai Golok ke Rantau Panjang, tetapi dihentikan dan kami tidak tahu sebabnya. Apabila terdengar khabar perkhidmatan kereta api di dua sempadan ini mahu dimulakan semula, saya amat gembira kerana sudah semestinya ia dapat merancakkan ekonomi penduduk di kawasan sempadan,” katanya.

Pembukaan semula stesen dan laluan kereta api itu turut dijangka memberi manfaat kepada generasi muda serta peniaga tempatan yang bergantung pada kehadiran pengunjung dari Malaysia dan Thailand.

Bagi Sukri Zakaria, 54, usaha membangunkan semula stesen tersebut amat dialu-alukan kerana mampu menghidupkan kembali suasana Rantau Panjang seperti pada era 1990-an.

“Saya amat bersetuju sekiranya kerajaan memasukkan projek pembinaan semula stesen kereta api di Rantau Panjang kerana ia akan merancakkan lagi sektor ekonomi penduduk.

“Kita mahu pekan Rantau Panjang hidup semula seperti tahun 90-an, ketika ramai orang datang berkunjung. Sebagai pekerja motosikal tambang, sudah pasti pelanggan akan bertambah dan rezeki penduduk tempatan juga akan bertambah,” katanya.

Malaysia sedia aktifkan semula laluan

Pada Januari lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilaporkan berkata Malaysia bersedia menghidupkan semula sambungan perkhidmatan kereta api dari Rantau Panjang ke Sungai Golok bagi memperkukuh hubungan pengangkutan dan ekonomi antara Malaysia dengan Thailand.

Langkah itu termasuk menyambung semula Koridor Rantau Panjang melalui laluan rel antara Pasir Mas dengan Rantau Panjang.

Projek baik pulih landasan diperlukan bagi membolehkan perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kembali beroperasi sehingga ke kawasan sempadan.

Sumber: Bernama

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!