Seorang wanita warga emas ditemui meninggal dunia di kawasan semak di belakang rumahnya di Kampung Pengkalan Baru, Bachok pada Sabtu.
Mangsa, Che Bidah Sulung, 85, ditemui kakak sulungnya, Hilmiah, 60-an, ketika mahu menghantar makanan ke rumah wanita terbabit.
Anak mangsa, Hindun Hamzah, 58, berkata, dia dimaklumkan kakaknya mengenai kejadian itu kira-kira jam 3 petang.
Menurutnya, ibunya tinggal seorang diri di rumah berkenaan dan anak-anak serta anak saudara sememangnya bergilir menghantar makanan kepadanya setiap hari.
"Emak tinggal seorang diri di rumah itu. Menjadi rutin anak-anak dan anak saudara menghantar makanan ke rumahnya setiap hari.
"Namun tadi kakak telefon saya maklumkan mahu menghantar nasi ke rumah emak, tetapi emak tiada di rumah.
"Kakak mencari emak di sekitar rumah sebelum menemuinya sudah tidak bernyawa di kawasan semak di belakang rumah," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Hindun berkata, ibunya merupakan seorang yang aktif dan gemar membersihkan kawasan sekitar rumah.
Susulan itu, dia tidak menolak kemungkinan ibunya sedang melakukan kerja membersihkan kawasan belakang kediaman sebelum ditemui tidak sedarkan diri.
Katanya, pemergian ibunya amat mengejutkan keluarga kerana Allahyarham tidak mempunyai sebarang penyakit serius.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Bachok untuk tindakan lanjut.
Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian.
Sumber: Harian Metro
