Aktiviti Penyeludupan Pendatang Di Perairan Kelantan Berkurangan Susulan MTL – APMM

Aktiviti penyeludupan pendatang tanpa izin di perairan Kelantan menunjukkan sedikit penurunan sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 berikutan keadaan laut bergelora dan cuaca tidak menentu.

Keadaan itu meningkatkan risiko pergerakan bot laju yang dipercayai digunakan sindiket untuk menjalankan kegiatan rentas sempadan.

Bagaimanapun, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan tidak mengambil mudah situasi berkenaan dan terus mempergiat rondaan serta risikan bagi membanteras kegiatan tersebut.

Pengarah APMM Kelantan, Kapten Maritim Kamal Mohamad berkata, keadaan geografi Kuala Tumpat yang mempunyai kira-kira 13 pulau serta beberapa laluan air cetek turut menjadi cabaran dalam pelaksanaan operasi penguatkuasaan.

Sindiket Dipercayai Guna Khidmat Tonto

Menurut beliau, sindiket penyeludupan dipercayai menggunakan khidmat tonto untuk memantau keadaan laluan sebelum membawa masuk pendatang ke negara ini.

“Peranan tonto memang utama kerana mereka akan memberikan isyarat sama ada laluan selamat atau sebaliknya sebelum kemasukan dilakukan,” katanya kepada pemberita ketika menyertai rondaan di kawasan panas kegiatan penyeludupan di perairan dan Sungai Kelantan.

Bagi tempoh 2023 hingga November 2026, APMM merekodkan sebanyak 46 kes tangkapan membabitkan 348 pendatang daripada pelbagai kewarganegaraan.

Warga Myanmar mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 169 orang, diikuti Vietnam (61), Bangladesh (14), India (11), Laos (dua) dan Sri Lanka (seorang).

Daripada keseluruhan jumlah itu, sebanyak 14 kes membabitkan 193 pendatang direkodkan bagi tempoh Januari hingga November 2026, menunjukkan peningkatan jumlah tangkapan berbanding trend sebelum ini.

Bayaran Sindiket Cecah RM10,000 Seorang

Kamal berkata, hasil siasatan mendapati sindiket menggunakan pelbagai laluan darat, udara dan laut menerusi negara jiran untuk membawa masuk migran ke Malaysia.

"Sindiket dipercayai mengenakan bayaran antara RM3,500 hingga RM10,000 bagi setiap individu, bergantung kepada laluan dan urusan kemasukan yang disediakan," katanya.

Dalam perkembangan sama, APMM Kelantan turut merekodkan 12 kes rampasan kontraban bagi tempoh 2023 hingga November 2026 dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM19.65 juta.

Jumlah itu termasuk empat kes penyeludupan rokok putih tidak bercukai sepanjang tahun ini dengan nilai rampasan RM997,370.

APMM Terus Perketat Kawalan Perairan

Beliau berkata, usaha penguatkuasaan akan terus dipertingkat bagi memastikan keselamatan, ketenteraman dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.

Orang ramai turut digesa menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengetahui sebarang kegiatan penyeludupan.

Sementara itu, tinjauan Bernama ketika menyertai rondaan menaiki bot APMM di perairan berhampiran Pulau Teluk Renjuna mendapati keadaan geografi kawasan berkenaan memerlukan pemantauan berterusan bagi mengekang kegiatan penyeludupan.

Sumber: Bernama

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!