Tragedi Pantai Kemayang: Mayat kanak-kanak ditemui sejauh 1.5 kilometer

Kegembiraan seorang kanak-kanak lelaki bermain ombak di Pantai Kemayang bertukar tragedi apabila dia ditemukan lemas selepas lebih 16 jam dilaporkan hilang.

Mayat mangsa, Muhamad Irfan Mohd. Afendi, 9, ditemukan orang awam di persisiran Pantai Cherang Laut pada jam 10.48 pagi Rabu, kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi asal mangsa dipercayai lemas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Penolong Penguasa Bomba Ahmad Ridhuan Mohamad Ghazali berkata, mangsa ditemukan hasil maklumat orang awam sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Seramai 42 anggota penyelamat terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan bomba, polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Rakyat.

“Sebelum penemuan mayat, operasi SAR menggunakan dua bot di permukaan air telah dijalankan bermula jam 9.37 pagi, namun mangsa ditemui orang awam pada jam 10.48 pagi,” katanya.

Saksi yang menemukan mayat mangsa, Mohd Faizal Fauzi, 41, berkata dia turun membantu pencarian selepas mengetahui kejadian itu melalui media sosial.

Menurutnya, pencarian bermula sejak malam kejadian dan diteruskan pagi tadi di sekitar Pantai Kemayang, termasuk Pantai Senok dan Pantai Cherang Laut.

“Ketika sampai di Pantai Cherang Laut, saya membaca Al-Fatihah. Selepas selesai, tiba-tiba mayat kanak-kanak itu timbul di depan mata saya.

“Ombak ketika itu kuat. Saya bimbang mayat dihanyutkan semula, jadi saya menahan dengan sebatang kayu hampir 20 minit sebelum anggota penyelamat membawa mayat ke daratan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohd Azrie Sulaiman berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia untuk proses bedah siasat.

Beliau memaklumkan seramai 55 anggota daripada lima agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, Maritim Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan RELA terlibat dalam operasi SAR mangsa, yang merupakan murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan Kota Jembal.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan aktiviti mandi-manda di pantai ketika ini susulan negara masih berada dalam musim Monsun Timur Laut.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 petang Selasa, mangsa datang ke pantai bersama ibu bapanya, Mohd Afendi Ya, 44, dan Kartini Mahmood, 44, serta adiknya, Muhd Hadif, 6.

Mangsa ke pantai atas permintaannya sendiri kerana bakal berkhatan pada minggu hadapan sempena cuti sekolah.



Sumber: Utusan

TERKINI

Lamine Yamal ‘Versi Kelantan’ Curi Perhatian Ketika Tayangan Akhir Piala Dunia
|
Bukan sahaja aksi final Piala Dunia FIFA menjadi tumpuan,…
Kelantan Kini Pengeluar Mangan Ketujuh Terbesar Dunia
|
Ramai mungkin tidak mengetahui bahawa Kelantan kini berada pada…
Kelantan Roboh Premis Dan Tiga Rumah Haram Dibina Etnik Rohingya di Tanah Merah
|
Kerajaan Kelantan mengambil tindakan merobohkan sebuah premis dan tiga…
Kelantan RW Bertemu Selangor FC Dalam Aksi Pembukaan Liga Super
|
Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) bakal membuka kempen…
Ketua Polis Balai di Kelantan Wajib Buat Sekurang-kurangnya Satu Tangkapan Dadah Sehari
|
Polis Kelantan memperkenalkan strategi baharu dalam usaha membanteras penyalahgunaan…
Tiga Lelaki Maut, Lori Ayam Rempuh Treler di Tanah Merah
|
Perjalanan tiga lelaki membawa bekalan ayam dari Perak ke…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!