Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menyediakan tiga lokasi penempatan sementara bagi menghadapi kemungkinan banjir yang berisiko menjejaskan kira-kira 1,400 pelajar di Kampus Kota, Pengkalan Chepa.
Persediaan itu dibuat susulan beberapa kawasan sekitar kampus, termasuk persekitaran kolej kediaman, mula dinaiki air bertakung selepas hujan berterusan sejak pagi 24 November.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMK, Datuk Prof Dr Mohammad Ismail berkata, kumpulan pelajar yang berisiko terjejas itu khususnya membabitkan pelajar tahun satu yang menetap di Kampus Kota.
Tiga Lokasi Penempatan Sementara Disediakan
Menurut beliau, tiga lokasi sudah dikenal pasti untuk dijadikan penempatan sementara sekiranya keadaan banjir berlaku.
Lokasi berkenaan ialah Fakulti Perubatan Veterinar untuk pelajar perempuan, penempatan di Kemumin bagi pelajar lelaki serta Pusat Akademik dan Pusat Islam di Kampus Bachok.
“Persiapan untuk menghadapi kemungkinan banjir telah dibuat termasuk menyediakan lokasi penempatan sementara bagi memastikan kebajikan dan keselamatan pelajar terjamin.
“Jika berlaku banjir, pihak universiti juga akan menyediakan makanan bermasak dan makanan kering untuk keperluan pelajar,” katanya ketika ditemui Bernama di Pejabat Canselori UMK Kampus Kota pada 24 November.
Kuliah Masih Berjalan Seperti Biasa
Dalam pada itu, Mohammad Ismail berkata sesi kuliah masih berjalan seperti biasa buat masa ini.
Bagaimanapun, pihak universiti bersedia beralih kepada kaedah pembelajaran secara dalam talian sekiranya keadaan banjir berlaku dan menjejaskan urusan di kampus.
Tinjauan Bernama pula mendapati air mula bertakung di beberapa lokasi sekitar kampus berkenaan ketika Kelantan dijangka berdepan hujan berterusan dalam beberapa hari akan datang.
Sebelum ini, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan kemungkinan banjir di empat jajahan di Kelantan, iaitu Jeli, Pasir Mas, Tanah Merah dan Tumpat bermula 24 hingga 27 November berdasarkan analisis data hidrologi menerusi model ramalan banjir.
Sumber: Bernama
