Pengambilan kakitangan termasuk dalam kalangan ahli keluarga ke jawatan di agensi kerajaan negeri dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung pengambilan kakitangan yang didakwa menyalahi prosedur boleh membuat laporan untuk siasatan.
Menurut beliau, kerajaan negeri terbuka sekiranya terdapat laporan dibuat berhubung perkara berkenaan, termasuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Saya mahu tegaskan pengambilan kakitangan kerajaan negeri dibuat mengikut prosedur. Namun jika didapati ada yang menyalahi prosedur, boleh buat laporan dan kita terbuka kepada siasatan.
“Malah, kita tiada masalah sekiranya terdapat mana-mana pihak mahu melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana kita terbuka untuk siasatan,” katanya ketika dihubungi.
Kenyataan itu susulan isu yang sebelum ini tular di media sosial berhubung dakwaan beberapa pegawai tinggi kerajaan negeri melantik anak-anak serta menantu untuk mengisi jawatan dalam kerajaan negeri dan agensi kerajaan negeri.
Dalam dakwaan yang tersebar itu, ada pihak turut mendakwa anak kepada pimpinan berkenaan memperoleh jawatan tinggi walaupun baru menamatkan pengajian.
Pada masa sama, terdapat pihak yang mendakwa sudah membuat laporan kepada SPRM berhubung perkara berkenaan untuk siasatan lanjut.
Bagaimanapun, Fadzli menegaskan bahawa pengambilan kakitangan kerajaan negeri dibuat mengikut prosedur dan pihak yang mempunyai maklumat mengenai sebarang pelanggaran prosedur boleh mengemukakan laporan untuk tindakan lanjut.
Sumber: Harian Metro
