Kerajaan Negeri Kelantan sedang memperkukuh keupayaan negeri untuk menyertai industri petroleum dan gas secara lebih tersusun melalui Kelantan Ventures Sdn. Bhd.
Langkah itu merangkumi usaha membina kapasiti, meneroka peluang pelaburan serta menjalin kerjasama dengan syarikat berwibawa dalam keseluruhan rantaian nilai industri berkenaan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Dato’ Hassan berkata, usaha tersebut merupakan sebahagian daripada aspirasi kerajaan negeri untuk memastikan manfaat sumber asli Kelantan dapat dinikmati oleh rakyat secara langsung dan tidak langsung.
Pada masa sama, penglibatan dalam sektor berkenaan diharap dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri yang mampan.
“Kerajaan Negeri Kelantan sedang berusaha untuk memperkukuhkan penglibatan Kelantan dalam industri petroleum dan gas bagi memastikan manfaat daripada sumber asli negeri ini dapat dinikmati oleh rakyat secara langsung dan tidak langsung serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri secara mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Pengkalan Pasir, Mohamadd Nasriff Daud Yatimee pada Persidangan Kali Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan.
Ambil Kira Kerangka Perundangan
Mohamed Fadzli berkata, usaha memperluas penyertaan Kelantan dalam industri petroleum dan gas perlu mengambil kira kerangka perundangan sedia ada, termasuk Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan kedudukan Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, kedudukan Kelantan juga tidak boleh dibandingkan secara langsung dengan Sarawak kerana negeri berkenaan mempunyai kedudukan dan hak tertentu dalam kerangka Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Sehubungan itu, Kelantan mengambil pendekatan berasaskan ruang perundangan sedia ada dengan membangunkan kapasiti institusi serta meneroka peluang penyertaan dalam rantaian nilai industri petroleum dan gas.
Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) telah menubuhkan Kelantan Ventures Sdn. Bhd. sebagai syarikat tujuan khas untuk meneroka peluang penyertaan negeri dalam industri tersebut secara lebih terancang.
“Melalui Kelantan Ventures Sdn. Bhd., Kelantan sedang membina kapasiti untuk meneroka peluang pelaburan serta menjalin kerjasama dengan syarikat yang berwibawa dalam rangkaian nilai industri petroleum dan gas,” jelasnya.
Tok Bali dan ECRL Jadi Tumpuan
Antara bidang yang diberikan perhatian ialah pembangunan ‘supply base’, logistik serta perkhidmatan sokongan bagi sektor huluan dan hiliran.
Kerajaan negeri turut meneroka peluang dalam sektor tenaga bagi memperluas penyertaan Kelantan dalam industri berkaitan.
Pendekatan tersebut mengambil kira perkembangan Northern Offshore Oil and Gas Corridor yang melibatkan Tok Bali Supply Base (TBSB) dan Tok Bali Industrial Park (TBIP).
Potensi integrasi kedua-dua kawasan berkenaan dengan rangkaian logistik Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pada masa hadapan turut diberikan perhatian.
“Matlamat akhirnya adalah memastikan penyertaan Kelantan dalam industri petroleum dan gas dapat diperkasakan secara berperingkat, bertanggungjawab dan mampan supaya manfaat daripada pembangunan sektor ini dapat dipulangkan kepada negeri dan dinikmati oleh rakyat Negeri Kelantan,” katanya.
Sumber: inforakyat.kelantan.my
