Ramai mungkin tidak mengetahui bahawa Kelantan kini berada pada kedudukan strategik dalam industri mineral dunia apabila muncul sebagai pengeluar mangan ketujuh terbesar dunia.
Perkara itu didedahkan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamed Fadzli Hassan selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kelstone Sdn. Bhd. dan AML Holdings LLC bagi kerjasama pembangunan industri berasaskan sumber mineral di Kelantan yang berlangsung di Mabna, Kota Bharu.
Menurut beliau, kedudukan tersebut berdasarkan maklumat yang dikongsikan oleh Naib Pengerusi merangkap Ahli Lembaga Pengarah AML Holdings LLC, Yuki Nakamura, bahawa Malaysia merupakan pengeluar mangan ketujuh terbesar dunia.
“Malaysia merupakan pengeluar manganese ketujuh terbesar di dunia namun hanya Kelantan yang mengeluarkan manganese di negara ini. Oleh itu, secara tidak langsung Kelantan berada pada kedudukan sebagai pengeluar manganese ketujuh terbesar di dunia,” katanya.
Beliau berkata, pemeteraian MoU itu merupakan langkah strategik untuk memperkukuhkan pembangunan industri mineral negeri menerusi kerjasama bersama rakan industri dari Jepun yang mempunyai kepakaran dalam sektor tersebut.
Menurutnya, kerjasama berkenaan dijangka membuka lebih banyak peluang pelaburan baharu, mempercepatkan pemindahan teknologi serta memperkukuhkan rantaian nilai industri mineral, khususnya mangan.
Pada masa sama, beliau berharap Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) akan terus memberikan sokongan dari segi bimbingan, penyelarasan dan pemudah cara supaya potensi industri mineral Kelantan dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.
Apa Itu Mangan?
Mangan atau manganese ialah unsur kimia yang mempunyai simbol Mn dan nombor atom 25.
Logam berwarna kelabu keputihan ini merupakan antara bahan mentah penting dalam industri dunia, khususnya bagi penghasilan keluli.
Kira-kira 90 peratus penggunaan mangan adalah dalam sektor metalurgi. Ia digunakan untuk menyingkirkan oksigen dan sulfur ketika proses pengekstrakan besi daripada bijih, selain menjadi komponen utama dalam penghasilan pelbagai jenis aloi keluli yang lebih kuat dan tahan lasak.
Selain industri keluli, mangan turut digunakan dalam pembuatan bateri seperti bateri litium-ion dan bateri nikel-logam hidrida, selain digunakan dalam penghasilan baja serta makanan haiwan.
Dalam bidang biologi, mangan juga memainkan peranan penting sebagai kofaktor kepada pelbagai enzim dalam manusia, haiwan dan tumbuhan, termasuk membantu proses fotosintesis serta penghasilan tenaga dalam beberapa jenis bakteria.
Sumber: inforakyat.my, mining.com
