Tekong penyeludup sanggup mengemudi bot pada kelajuan tinggi dalam keadaan gelap sejauh lebih 12 kilometer (km) di Sungai Kelantan bagi membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini tanpa dikesan pihak berkuasa.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan, Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata, hasil pemerhatian mendapati tekong terbabit sangat mahir dengan keadaan muka bumi serta selok-belok sungai sehingga berjaya meloloskan diri daripada buruan pihak berkuasa.
Kelantan Jadi Lokasi Transit
Menurut beliau, PATI berkenaan dipercayai dibawa masuk melalui jalan laut dari Thailand sebelum memasuki Sungai Kelantan dan menjadikan negeri ini sebagai lokasi transit.
"Kelantan, khususnya Kota Bharu dan Tumpat, menjadi lokasi transit sebelum mereka dibawa ke lokasi pekerjaan yang telah diaturkan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Kelantan di sini pada Ahad.
Beliau berkata, kejayaan mengesan kemasukan PATI itu adalah hasil pemantauan dan risikan berterusan yang dijalankan pihaknya bagi membanteras aktiviti penyeludupan di perairan negeri ini.
Lapan Warga Myanmar Ditahan
Menurut Kamal, kira-kira jam 11.47 malam pada Rabu lalu, sebuah bot yang dipandu laju dikesan memasuki muara Sungai Kelantan sebelum dikejar anggota penguat kuasa.
"Bot itu dikejar sehingga ke Pasir Pekan Hilir, Tumpat, namun berjaya meloloskan diri kerana dipandu dalam keadaan gelap," katanya.
Hasil pencarian susulan kira-kira jam 12.20 pagi menemukan lapan warga Myanmar bersembunyi di sebalik semak berhampiran lokasi kejadian.
Katanya, kesemua PATI berusia antara 18 hingga 51 tahun itu terdiri daripada lima lelaki dan tiga wanita serta gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.
"Hasil siasatan awal mendapati mereka dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk bekerja dalam sektor perkilangan.
"Setiap seorang dipercayai membayar RM6,000 kepada ejen dan menempuh perjalanan selama empat hari sebelum ditahan," katanya.
Beliau berkata, kesemua PATI dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Malaysia Kelantan di Tok Bali untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Sumber: Sinar Harian
SHARE:
