Ladang Sireh Rohingya Di Tanah Merah Dibersihkan Selepas Disita

Ladang sireh seluas lebih dua hektar di Kampung Padang Guchil, Tanah Merah, yang diusahakan komuniti Rohingya sejak beberapa tahun lalu, kini dibersihkan sepenuhnya selepas disita pihak berkuasa bulan lalu.

Menurut laporan Harian Metro, tinjauan mendapati struktur junjung kayu yang sebelum ini digunakan untuk tanaman sireh sudah dirobohkan oleh pihak berkuasa tempatan sejak seminggu lalu.

Untuk rekod, ladang berkenaan disita Pejabat Tanah dan Jajahan Tanah Merah selepas didapati melanggar syarat penggunaan tanah yang sepatutnya ditanam dengan pokok getah.

Bagaimanapun, pemilik tanah dipercayai menyewakan kawasan berkenaan kepada komuniti Rohingya untuk mengusahakan tanaman sireh.

Walaupun aktiviti pertanian di kawasan itu sudah dihentikan, komuniti terbabit dilihat masih menetap seperti biasa di rumah sewa sekitar kampung berkenaan dengan kadar sewaan antara RM250 hingga RM300 sebulan.

Seorang penduduk yang hanya dikenali sebagai Halim, 50, berharap pihak berkuasa terus melakukan pemantauan bagi mengelakkan aktiviti pertanian yang sama berulang.

"Kita tidak mahu tindakan hanya dilakukan pada waktu tertentu sahaja sebaliknya secara berterusan supaya kampung ini tidak dipenuhi komuniti Rohingya," katanya ketika ditemui.

Pada Oktober lalu, akhbar ini pernah mendedahkan kegiatan penanaman sireh di kawasan seluas lebih dua hektar itu yang menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk setempat.

Ladang berkenaan difahamkan disewa daripada pemilik tanah pada kadar RM600 hingga RM1,000 bagi setiap hektar, sebelum hasil tanaman dijual kepada pemborong.

Kawasan yang sebelum ini kelihatan seperti hutan terbiar itu berubah menjadi ladang sireh selepas disewa dan diusahakan sejak beberapa tahun lalu.

Penduduk turut mendakwa kehadiran komuniti Rohingya di kampung berkenaan pada awalnya hanya sekitar 15 orang lebih 10 tahun lalu, namun jumlahnya kini dikatakan meningkat kepada hampir 100 orang.

Sumber: Harian Metro

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!