Seorang wanita ditahan selepas dipercayai terlibat dalam penjualan beras dan tepung beras seludup yang disimpan di sebuah stor di Kampung Pohon Buloh, Meranti, Pasir Mas, pagi tadi.
Suspek berusia 37 tahun yang juga seorang peniaga mengakui menjual beras serta tepung beras yang disyaki diseludup dari Thailand sejak awal tahun ini.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan dilakukan oleh PGA8 kira-kira jam 11.30 pagi menerusi Op Taring Wawasan hasil risikan dan maklumat yang diterima.
Menurutnya, pemeriksaan di stor berkenaan menemukan 300 paket tepung beras serta 900 kilogram beras Siam yang dipercayai dibawa masuk secara tidak sah dari Thailand.
Bekalan Diperoleh Daripada Pemborong
Ahmad Radzi berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM4,500.
"Wanita itu juga mengakui sebagai penjaga stor dan menjual beras serta tepung beras seludup sejak awal tahun ini untuk pasaran tempatan," katanya dalam satu kenyataan.
Siasatan awal turut mendapati bekalan beras dan tepung beras itu diperoleh daripada seorang pemborong di Pasar Tasek Raja, Pasir Mas.
Kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi Dan Beras Negara 1994.
Sumber: Berita Harian
SHARE:
