Seorang bapa dan anak lelakinya ditemukan rentung dalam keadaan berpelukan selepas terperangkap di tingkat atas sebuah rumah yang terbakar di Kampung Tok Jembal, Kuala Nerus, awal pagi Rabu.
Kedua-dua mangsa dikenal pasti sebagai Amirul Fahmi Wan Jusoh, 40, dan anaknya, Rehan Yusuf, sembilan tahun.
Menurut laporan Kosmo!, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Shahrin Yusmar Mat Yusof berkata, mayat dua beranak itu ditemukan di dalam sebuah bilik tidur di tingkat atas rumah berkenaan.
“Mayat kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan dari tingkat atas rumah terbabit pada pukul 8.40 pagi.
“Seorang lagi mangsa iaitu ibu Amirul Fahmi, Maimunah Muda, 67, berjaya diselamatkan penduduk kampung yang menyedari kebakaran terbabit,” katanya di lokasi kejadian.
Api terlalu marak
Seramai 24 pegawai dan anggota bomba dikerahkan ke lokasi selepas pihaknya menerima maklumat mengenai kebakaran itu pada pukul 2.49 pagi.
Bagaimanapun, usaha menyelamatkan Amirul Fahmi dan Rehan yang terperangkap di tingkat atas berdepan kesukaran kerana api ketika itu terlalu marak.
“Kami hanya dapat menaiki tingkat atas dengan menaiki kerangka besi selepas tiga jam dan menemui mayat kedua-dua mangsa dalam keadaan berpelukan.
“Mayat mereka telah diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Zainal Abidin di sini untuk tindakan lanjut,” katanya.
Difahamkan, isteri Amirul Fahmi, Nur Izah Ahmad yang berusia lingkungan 30-an, tiada di rumah ketika kejadian.
Nur Izah yang baru selesai berpantang berada di rumah ibunya di Paloh, Kuala Terengganu bersama dua lagi anak mereka yang berusia tiga bulan dan tiga tahun.
Sumber: Kosmo
