Sulong Dipantau Siang dan Malam, Orang Ramai Dilarang Berhenti Beri Makan atau Ambil Gambar

Pemantauan terhadap seekor gajah jantan dewasa yang dipercayai Sulong akan diteruskan dua kali sehari selepas haiwan itu masih kembali ke kawasan Jalan Raya Timur Barat (JRTB) meskipun sudah digiring masuk ke hutan.

Menurut laporan Kosmo!, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memaklumkan tindakan menggiring serta pemantauan akan dilakukan pada waktu siang dan malam.

Gajah berkenaan dikesan berkeliaran di JRTB sekitar Gerik sejak 17 Ogos lalu dan mengalami kecederaan pada kaki hadapan sebelah kanan.

Bagaimanapun, hasil pemantauan Perhilitan Perak mendapati keadaan fizikal dan tingkah laku Sulong masih normal. Haiwan itu juga masih mampu makan serta bergerak dengan baik.

“Keadaan luka juga didapati semakin kering dan menunjukkan tanda-tanda pemulihan.

“Jabatan Perhilitan telah mengambil tindakan menggiring gajah tersebut kembali masuk ke kawasan hutan serta melaksanakan pemantauan terhadap pergerakan dan keadaannya,” katanya.

Menggiring membawa maksud menghalau atau mengarahkan haiwan ke sesuatu tempat.

Walaupun sudah digiring masuk ke hutan, Sulong didapati masih kembali ke kawasan jalan raya.

Susulan itu, kesiapsiagaan anggota di lapangan diperkukuhkan, termasuk mendapatkan penilaian doktor veterinar bagi menentukan keadaan fizikal, tahap kecederaan serta keperluan tindakan susulan terhadap haiwan tersebut.

Jangan berhenti ambil gambar

Perhilitan pada masa sama menasihatkan orang ramai supaya tidak berhenti untuk mengambil gambar atau merakam video sekiranya terserempak Sulong di sepanjang JRTB.

Tindakan memberhentikan kenderaan dikhuatiri mengganggu kelancaran aliran trafik di kawasan berkenaan.

Pengguna jalan raya juga diminta sentiasa mematuhi arahan anggota penguat kuasa dan petugas Perhilitan ketika melalui kawasan pemantauan.

“Pemberian makanan atau meletakkan makanan untuk gajah adalah ditegah di sepanjang JRTB,” katanya.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak berhenti atau keluar daripada kenderaan sekiranya terserempak hidupan liar, termasuk gajah yang berada di bahu jalan walaupun haiwan itu tidak menunjukkan tingkah laku agresif.

“Orang ramai juga diminta tidak melakukan sebarang bentuk provokasi terhadap haiwan liar yang ditemui,” katanya.

Perlahankan kenderaan sekitar R&R Titiwangsa

Pengguna JRTB, khususnya di sekitar Gerik dan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Titiwangsa, diminta memperlahankan kenderaan dalam lingkungan lima kilometer sebelum tiba di hentian tersebut dari kedua-dua arah.

“Pengguna JRTB khususnya sekitar Gerik dan R&R Titiwangsa diminta sentiasa berhati-hati, tidak panik serta memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan semua pihak terjamin,” katanya.

Sebelum ini, beberapa rakaman memaparkan seekor gajah dipercayai Sulong berada di beberapa lokasi sepanjang laluan menuju Gua Musang, Kelantan tular di media sosial.

Ada pengguna jalan raya dilihat berhenti dan memberikan makanan kepada haiwan itu kerana bersimpati dengan perjalanannya yang jauh menuju ke kawanan asal.

Sulong dikatakan berasal dari Chalil, Gua Musang sebelum dipindahkan Perhilitan ke Gerik, Perak bagi mengelakkan konflik dengan penduduk, termasuk gangguan terhadap tanaman.

Sumber: Kosmo

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!