Isu keadaan jalan di laluan Bukit Marak – Bekelam – Pengkalan Cina, Bachok menghantui penduduk setempat yang merayu suara mereka didengari pihak berwajib.
Penduduk mendakwa projek naik taraf jalan yang dimulakan sejak beberapa tahun lalu tidak disiapkan sehingga kini, malah keadaan jalan dikatakan semakin teruk berbanding sebelum kerja-kerja dimulakan.
Antara aduan yang dibangkitkan termasuk jalan berlubang, tidak rata serta bahagian tepi jalan yang tinggi dan tajam, sekali gus membahayakan pengguna.
Dakwa Projek Terbengkalai Sejak 2022
Menurut perkongsian seorang penduduk, beliau mendakwa sudah beberapa kali membuat aduan kepada pihak berwajib termasuk JKR Bachok dan Unit Integriti Kementerian Kerja Raya, namun menurutnya, tiada tindakan susulan yang jelas sehingga ke hari ini.
Beliau turut mendakwa projek berkenaan telah bermula sejak tahun 2022 namun kerja-kerja pembinaan tidak diteruskan selepas kawasan tapak dibersihkan.
Dakwa Keadaan Jalan Semakin Bahaya
Dalam perkongsian sama, penduduk turut meluahkan kebimbangan terhadap keadaan jalan yang didakwa semakin berbahaya kepada pengguna harian.
Antara kawasan yang disebut termasuk sekitar SMK Bachok, Cabang 3 Pok Jak, Masjid Tok Ayah Zain, Stesen Caltex Kemudi hingga ke Melawi.
“Jalan tak rata, berlubang, line jalan pun dah hilang habis,” antara luahan yang dikongsikan.
Penduduk Dakwa Terpaksa Bertindak Sendiri
Penduduk turut mendakwa sudah beberapa kali cuba memviralkan isu tersebut di media sosial bagi mendapatkan perhatian pihak bertanggungjawab.
Namun penduduk terpaksa bergotong-royong melakukan kerja sementara kerana keadaan jalan yang semakin merosot.
Netizen Kongsi Pengalaman Sama
Perkongsian itu turut mengundang pelbagai reaksi netizen yang mendakwa keadaan jalan tersebut memang teruk terutama ketika musim hujan dan waktu puncak.
Ada yang mendakwa kenderaan sukar berselisih kerana keadaan jalan sempit dan berlubang, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan.
Tinjauan Dakwa Isu Habuk Ganggu Penduduk
Selain kerosakan jalan, penduduk turut mendakwa habuk daripada kawasan kerja turut mengganggu kehidupan harian mereka.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi lanjut dikeluarkan oleh pihak berwajib berhubung dakwaan tersebut.
SHARE:
