Sudah Beberapa Bulan Tiada Air, Penduduk Gali Telaga Tiub Secara Manual

Gangguan bekalan air yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu memaksa penduduk di Kampung Banggol Tok Mokyong, Rantau Panjang mengambil inisiatif sendiri dengan menggali telaga tiub secara manual bagi mendapatkan sumber air bawah tanah.

Bagi Ariffin Ismail, 64, keputusan itu dibuat selepas gangguan bekalan air berulang menyebabkan keluarganya sukar memenuhi keperluan asas harian.

“Kami sudah berbulan-bulan menghadapi masalah air. Kadang-kadang tiada bekalan selama dua hingga tiga hari berturut-turut.

“Untuk mandi, kami terpaksa ke Sungai Golok, manakala air minuman perlu dibeli di kedai,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Menurut Ariffin, kos untuk memasang sistem telaga tiub yang sempurna dianggarkan antara RM5,000 hingga RM10,000, namun ia di luar kemampuan penduduk berpendapatan rendah.

Sebaliknya, beliau memilih kaedah manual yang lebih menjimatkan dengan membelanjakan kira-kira RM1,000 bagi membeli paip dan peralatan asas untuk membina telaga tiub sendiri.

“Ada penduduk di Kampung Tok Deh yang membelanjakan sehingga RM11,000 untuk membina telaga tiub yang sempurna.

“Saya memang tidak mampu, jadi terpaksa bergantung kepada usaha sendiri,” katanya.

Ariffin berkata, proses dilakukan dengan mengetuk paip ke dalam tanah sehingga mencapai lapisan pasir yang membolehkan air mengalir keluar.

“Biasanya paip ditanam sedalam kira-kira 20 kaki, dan pada sekitar 30 kaki, air mula keluar.

“Kalau tanah keras, memang susah, tetapi kalau tanah liat, kerja jadi lebih mudah,” katanya.

Walaupun berjaya memperoleh air, beliau mengakui kualiti air daripada telaga tiub itu tidak dapat dijamin.

“Kami buat ini untuk dapatkan air dahulu. Soal bersih atau tidak, itu perkara kedua kerana kelangsungan hidup lebih penting sekarang,” katanya.

Terpaksa Cari Alternatif Demi Keluarga

Sementara itu, seorang suri rumah, Surani Daud, 48, yang mempunyai enam anak berkata keluarganya tiada pilihan selain menyesuaikan diri dengan situasi bekalan air yang tidak menentu.

“Bekalan sering terputus. Kami tidak boleh bergantung sepenuhnya, lebih-lebih lagi dengan keluarga besar seperti saya.

“Saya terpaksa mencari alternatif, jadi saya memasang sendiri paip ke dalam tanah untuk mendapatkan air,” katanya.

Surani berkata, masalah sama turut dialami penduduk kampung berdekatan termasuk Kampung Tersang dan Kampung Tok Deh.

Beliau berharap pihak berkuasa dapat membantu menaik taraf sistem bekalan air di kawasan tersebut agar penduduk memperoleh akses air bersih secara konsisten.

“Kami hanya mahukan bekalan yang stabil. Air adalah keperluan asas dan tidak sepatutnya menjadi sesukar ini,” katanya.


Sumber: Harian Metro

SHARE:

TERKINI

Israel Dijangka Berperang Dengan Mesir Dalam Tempoh 15 Tahun
|
Seorang aktivis Zionis terkemuka meramalkan Israel berkemungkinan berdepan peperangan…
Tanah Diusahakan 20 Tahun Disita, Peneroka Gua Musang Tuntut Siasatan
|
Peneroka di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Chalil, Gua…
Bangsal Tersembunyi Dalam Semak Di Pasir Mas Rupa-Rupanya Stor Dadah
|
Seorang lelaki berusia 34 tahun diberkas Pasukan Gerakan Am…
55 Pelajar Tahfiz Bachok Tawan Tiga Puncak Gunung Stong Sambil Khatam Al-Quran
|
Seramai 55 pelajar Maahaad Tahfiz Sains Al-Muhammadi (MTSM) Nipah…
Mufti Kelantan Tegur Wanita Promosi Pakaian Dalam Dengan Memakai Sendiri
|
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menegur tindakan segelintir…
Pasangan Kekasih Ditahan, Polis Rampas Dadah Bernilai RM9.7 Juta Di Butterworth
|
Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!