Mangsa Ditembak Pencuri Lembu Di Ladang Kemahang Dibenar Pulang

Mangsa yang parah ditembak dipercayai pencuri lembu dalam kejadian di Ladang Kemahang 1, Tanah Merah awal pagi 18 April lalu kini dibenarkan pulang selepas 10 hari menerima rawatan di Hospital Tanah Merah.

Mangsa, Mohd Khairi Amri Abdul Kadir, 43, bagaimanapun perlu kembali semula ke hospital pada Ahad ini untuk menjalani pembedahan memasang besi dalam mulut susulan kecederaan serius akibat tembakan yang terkena dagunya.

Bapanya, Abdul Kadir Mohamad, 73, berkata anaknya masih belum mampu makan kerana rahangnya cedera teruk dan kesakitan masih dirasai.

“Buat masa sekarang anak saya hanya mampu minum susu sahaja dan itupun menggunakan penyedut namun untuk makan memang langsung tak dapat.

“Rahangnya cedera teruk dan hampir keseluruhan giginya tercabut. Dia dibenarkan pulang ke rumah buat sementara tapi akan kembali semula ke hospital pada Ahad ini untuk menjalani pembedahan memasang besi dalam mulut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, luka kesan tembakan di dagu hampir sembuh dan tidak lagi kelihatan, namun kecederaan di bahagian dalam mulut masih parah.

Abdul Kadir berkata, walaupun lega dengan perkembangan itu, beliau tetap sedih melihat kesakitan yang ditanggung anaknya.

Katanya, Mohd Khairi masih mampu bercakap perlahan namun pertuturannya tidak jelas dan lebih banyak berkomunikasi dengan mengangguk atau menggeleng.

“Umurnya panjang pun sudah cukup syukur bagi kami tapi melihat keadaannya yang menanggung kesakitan di depan mata, sangat meruntun hati kami,” katanya.

Kejadian Berlaku Ketika Penduduk Buat Tinjauan

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi pada 18 April lalu, mangsa masuk ke ladang berkenaan bersama lebih 40 penduduk kampung untuk meninjau keadaan susulan kes kecurian lembu yang berlaku kebelakangan ini.

Difahamkan, lima individu memasuki ladang menggunakan motosikal sebelum berlaku insiden tembakan apabila beberapa das dilepaskan dan salah satu peluru terkena mangsa dari jarak dekat.

Susulan kejadian itu, polis bersama pihak berkuasa Thailand bekerjasama menjejaki suspek utama yang dipercayai melarikan diri ke kawasan sempadan negara jiran.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pihaknya turut menahan empat individu bagi membantu siasatan selain mengenal pasti suspek utama berusia lingkungan 40-an yang juga warga Malaysia.


Sumber: Harian Metro

SHARE:

TERKINI

RM6.26 Juta Dadah Dirampas, Ketua Sindiket Bergelar ‘Datuk’ Antara 291 Ditahan
|
Seorang ketua sindiket dadah bergelar 'Datuk' menjadi antara 291…
Bayi 11 Bulan Meninggal Dunia Selepas Terjatuh Dari Kerusi Di Rumah Pengasuh
|
Seorang bayi perempuan berusia 11 bulan disahkan meninggal dunia…
Tujuh Beranak Di Tumpat Lega Gangguan Mistik Hilang Selepas Sebulan
|
Sebuah keluarga tujuh beranak di Kampung Kutan Sungai, Tumpat…
SMKA Naim Lilbanat Sekolah Pertama Di Kelantan Miliki Kelas Berasaskan AI
|
Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat, Kota Bharu…
Durian Serendah RM1.30 Sekilo Di Tumpat, Harga Esok Ditentukan Pembeli
|
Lambakan durian musim ini memberi rezeki kepada pencinta raja…
Suami Tetak Isteri Guna Parang Sebab Tegur Jiran Lelaki
|
Seorang suri rumah berusia 40 tahun cedera parah selepas…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!