RM6.26 Juta Dadah Dirampas, Ketua Sindiket Bergelar ‘Datuk’ Antara 291 Ditahan

Seorang ketua sindiket dadah bergelar 'Datuk' menjadi antara 291 individu yang ditahan dalam Ops Gaurus yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di sekitar Perak, Lembah Klang dan Johor, minggu lalu.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek yang berusia lingkungan pertengahan 40-an itu dipercayai merupakan ketua kumpulan kongsi gelap yang aktif di negeri-negeri berkenaan.

Menurut beliau, operasi yang dijalankan dari 17 hingga 21 Jun itu berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM6.26 juta serta menahan sembilan ahli sindiket.

Antara dadah yang dirampas ialah heroin, serbuk dan cecair MDMA, ketamin, pil ekstasi, pil Erimin 5 serta ganja.

Bungkus Semula Dadah Untuk Edaran

Hussein berkata, siasatan mendapati sindiket tersebut membeli dadah secara pukal sebelum membungkus semula untuk diedarkan ke pusat-pusat hiburan.

"Modus operandi sindiket pengedaran dadah yang diketuai 'Datuk' ini ialah membeli dadah secara pukal dan kemudian membungkus semula untuk dijual di pusat-pusat hiburan.

"Sindiket ini dipercayai aktif beroperasi di sekitar Perak, Lembah Klang dan Johor sejak pertengahan tahun 2024 selain memiliki pelbagai peralatan dan bahan kimia prekursor yang digunakan untuk memproses dadah," katanya pada sidang media.

Pelbagai Aset Turut Dirampas

Dalam operasi sama, polis turut merampas beberapa kenderaan mewah termasuk Nissan Sentra, Mazda, Maserati Ghibli, Toyota Alphard, Toyota Vellfire dan Mercedes-Benz CL250.

Selain itu, dua utas jam tangan Rolex serta wang tunai berjumlah RM4,383 turut disita.

Menurut Hussein, kesemua suspek berusia antara 19 hingga 74 tahun direman bagi membantu siasatan.

Katanya, lima daripada mereka didapati positif pelbagai jenis dadah dan kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pada masa sama, tindakan turut diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 terhadap semua aset milik sindiket berkenaan.

Sumber: Berita Harian

SHARE:

TERKINI

Tiga Lelaki Ditahan, Pondok Proses Air Ketum Diserbu PGA Di Tumpat
|
Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan satu kegiatan pemprosesan…
Curi RM50 Tabung Masjid Di Wakaf Bharu, Penganggur Dipenjara Lima Bulan
|
Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah…
Selepas Empat Tahun Berehat, Rahim Maarof Berkeras Mahu Buat Persembahan Di Kota Bharu
|
Empat tahun berehat daripada dunia nyanyian bukanlah tempoh yang…
Penarik Kereta Direman Selepas Disyaki Edar Pil Kuda Bernilai RM61,000 Di Tumpat
|
Seorang duda yang mempunyai dua anak direman selama tujuh…
KRW FC Tangguh Pengambilan Pemain Baharu, Tunggu Isu Teknikal Selesai
|
Ketua Jurulatih Kelantan Red Warriors (KRW) FC, Irfan Bakti…
46 Projek Bernilai RM207.2 Juta Diluluskan Untuk Pasir Puteh
|
Pasir Puteh bakal menerima suntikan pembangunan apabila kerajaan meluluskan…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!