Guru Mengaji Mengaku Amang Seksual Terhadap 3 Murid Lelaki Di Tanah Merah

Seorang guru al-Quran dihukum penjara sembilan tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Pasir Mas hari ini selepas mengaku bersalah atas sembilan pertuduhan amang seksual fizikal terhadap tiga murid lelakinya sejak tiga tahun lalu.

Tertuduh, Hanafi Hassan, 64, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.

Kesalahan Didakwa Berlaku Sejak 2023

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki ketika mangsa berusia antara sembilan tahun empat bulan hingga 11 tahun sembilan bulan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di bilik mandi Masjid Kursial Bharu pada Mei 2023 kira-kira jam 5.45 petang dan pada 11 Oktober 2025 jam 5 petang.

Kesalahan sama turut dilakukan pada 16 Mac 2024 jam 8 pagi di sebuah stor gunting rambut di kawasan perumahan Kursial, Tanah Merah serta pada 26 Januari 2025 jam 5 petang di tandas Masjid Al Falah Manal 1, Tanah Merah.

Tiga Mangsa Berbeza, Lokasi Berulang

Bagi pertuduhan kelima hingga ketujuh pula, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama terhadap seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun 11 bulan di stor Masjid Kursial Bharu, Tanah Merah pada 25 September 2025 jam 3.15 petang, selain pada 2 Oktober 2025 dan 24 Oktober 2025 di lokasi sama.

Sementara itu, pertuduhan kelapan dan kesembilan melibatkan seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dua bulan di bilik mandi Masjid Jamek Ismaili Petra, Tanah Merah pada 23 November dan 7 Disember 2025, kira-kira jam 5.30 petang.

Pertuduhan Di Bawah Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak

Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aiysha Na’ilah Harizan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Rayu Hukuman Ringan, Dakwa Menyesal

Ketika merayu hukuman ringan, tertuduh menangis dan mendakwa menyesal atas perbuatannya selain memohon ihsan mahkamah kerana sudah berusia serta menjadi tulang belakang keluarga termasuk menyara seorang anak orang kurang upaya (OKU).

“Pak cik menyesal di atas perbuatan terkutuk ini, mohon hukuman seringan-ringannya. Pak cik juga sudah tua,” katanya.

Pendakwaan Mahu Hukuman Setimpal

Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal kerana perbuatan tertuduh memberi trauma kepada mangsa yang masih kecil selain kesalahan dilakukan berulang kali sejak 2023.

Menurut pendakwaan, tertuduh turut menggunakan pujukan seperti membelikan kasut, pengecas telefon dan kad sim selain mengugut tidak mahu mengajar al-Quran sekiranya mangsa enggan menuruti kehendaknya.

Hukuman Penjara Dan Sebatan Bermula Tarikh Tangkap

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan tiga sebatan bermula dari tarikh tangkap pada 1 Mei 2026.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan sepanjang berada di penjara selain dikenakan pengawasan polis selama tiga tahun selepas tamat menjalani hukuman.


Sumber: Utusan

SHARE:

TERKINI

Kerajaan Cadang LPT3 Secara Kerjasama Awam Swasta Berikutan Kekangan Kewangan
|
Cadangan pelaksanaan Projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3)…
Dua Wanita Antara Enam Individu Didakwa Seludup 10 Migran Bangladesh
|
Enam individu termasuk dua wanita dan seorang warga Thailand…
Mekanik Direman Kes Rogol Dan Samun Remaja Ketika Joging Di Tumpat
|
Selepas hampir sebulan kejadian yang menggemparkan penduduk Palekbang, Tumpat,…
Polis Tahan Lelaki Rohingya, Disiasat Kes Rogol Remaja Di Bachok
|
Seorang lelaki etnik Rohingya direman selama enam hari selepas…
Program Disko Retro Di Kota Bharu Disiasat, Pemilik Restoran Dakwa Tidak Tahu
|
Apa yang pada mulanya dipercayai hanya sebuah majlis tertutup…
Dari Pasar Siti Khadijah Ke Spa Moden, Mandi Bunga Masih Popular Di Kelantan
|
Di Sebalik Haruman Bunga, Ada Tradisi Lama Yang Masih…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!