Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat, Kota Bharu mencipta sejarah apabila menjadi sekolah pertama di Kelantan yang memiliki bilik darjah berasaskan kecerdasan buatan (AI-Powered Classroom).
Lebih membanggakan, sekolah berkenaan turut dipilih sebagai satu daripada 27 sekolah rintis di seluruh negara bagi melaksanakan inisiatif AI-Powered Classroom di bawah Dasar Pendidikan Digital Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Pengetua SMKA Naim Lilbanat, Ab Raisham Ab Rashid berkata, sekolah itu merupakan satu-satunya wakil dari Kelantan yang terpilih menyertai projek perintis berkenaan berdasarkan kecemerlangan sekolah serta tahap kesediaan teknologi digital yang dimiliki.
Menurut beliau, pemilihan tersebut membuka peluang kepada guru dan murid untuk meneroka kaedah pembelajaran baharu berasaskan kecerdasan buatan yang mampu meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).
Teroka Pembelajaran Berasaskan Teknologi
Katanya, inisiatif tersebut membuktikan bahawa sekolah di Kelantan mampu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi pendidikan global.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian AI-Powered Classroom SMKA Naim Lilbanat yang disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP), KPM, Aniza Kamarulzaman.
Menurutnya, pelaksanaan projek itu turut mendapat sokongan pelbagai rakan strategik termasuk Samsung, SNS Network, Sasbadi, Yayasan Didik Negara, Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGTHO), Micro Concept Tech Sdn Bhd, alumni SMKA Naim Lilbanat dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut.
Kelantan Sasar Lebih Banyak Sekolah AI
Ab Raisham berkata, kerjasama tersebut membantu menyediakan peranti, sistem pembelajaran, platform AI serta latihan kepada guru dan murid bagi memastikan pelaksanaan program berjalan lancar.
Beliau turut memaklumkan sesi perkongsian melibatkan guru dan murid dalam AI-Powered Classroom memberi gambaran jelas bahawa generasi muda Kelantan semakin menguasai teknologi kecerdasan buatan dalam pembelajaran harian.
Dalam perkembangan sama, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan dilaporkan menyasarkan peluasan AI-Powered Classroom ke 20 lagi sekolah di negeri ini pada fasa seterusnya.
Pemilihan sekolah akan dibuat berdasarkan tahap kesediaan guru dan kemudahan sedia ada bagi memastikan akses pendidikan berasaskan kecerdasan buatan dapat diperluaskan secara menyeluruh.
Sumber: Sinar Harian
SHARE:
